ARKIB : 12/08/2005
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak
Bawah 23 Tahun negara mengakhiri kunjungan ke Poland sejak 2 Ogos lalu, sebagai
persediaan ke Sukan SEA Manila, tanpa sebarang kemenangan setelah kalah 1-2
kepada Belia Bawah 21 Tahun Poland di Kowal, kelmarin.
Sebelumnya, skuad bimbingan
Bertalan Bisckei dari Hungary ini sekadar seri 1-1 dengan lawan yang sama,
Isnin lalu dan seri 2-2 dengan Rypin FC dari bahagian empat Poland, selain
kalah kepada kelab bahagian dua, Kujawiak Wloclawek FC 2-4 pada minggu lalu.
Dalam perlawanan persahabatan
di Stadium Wloclawek itu, skuad Bawah 23 menjaringkan gol penyamaan menerusi
pemain tengah, Zairo Anuar Zalani dari Terengganu yang menyempurnakan sepakan
penalti pada minit ke-47.
Dua minit kemudian, lawan yang
sedang menyertai Kumpulan Enam Kelayakan Kejohanan Eropah Bawah 21 dan
menduduki tempat ketiga di belakang England dan Jerman, menghampakan anak didik
Bisckei dengan meraih gol kemenangan mereka.
Bisckei yang tetap menganggap
banyak kemajuan yang dipaparkan oleh anak buahnya di sebalik keputusan
sederhana itu, berkata: ``Ini hanya peringkat pertama persediaan pasukan
selepas menjalani proses pemilihan 22 pemain.
``Secara keseluruhan, kunjungan
ke Poland telah mencapai matlamat dalam menyediakan pasukan dengan serba
sedikit perlawanan untuk menguji dan menilai kemampuan mereka,'' kata Bisckei,
bekas jurulatih kebangsaan Hungary.
Penjaring lain skuad Bawah 23
dalam kesemua perlawanan itu ialah dua gol oleh Amir Shahreen Mubin (Public
Bank), R. Surendran (Perak) dan Khairulzal Azmi Zaihiruddin (Telekom Melaka).
Tugasan skuad ini berikutnya
ialah Kejohanan Pra-Sukan SEA di Thailand anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN
(AFF) pada akhir bulan ini yang diletakkan sekumpulan dengan Thailand, Myanmar,
Timor Leste dan Filipina.
Skuad ini juga seterusnya akan
berkunjung ke Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada Oktober ini untuk
mengadakan beberapa lagi perlawanan persahabatan sebelum menghadapi Sukan SEA
ke-23, November depan di mana mereka ditetapkan sasaran meraih pingat emas.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iqeHIRdQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan