Khamis, 22 Jun 2017

Mampukah Malaysia sekat All White



ARKIB : 23/02/2006

KUALA LUMPUR - Mungkinkah Malaysia menjadi budak belasahan New Zealand pada perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa kedua di Stadium North Harbour, Albany, Auckland, hari ini?

All White kini memburu mangsa kedua selepas berkenduri gol dengan membelasah Tahiti 10-0 pada Piala Negara-Negara Oceania pada Jun 2004.

Jika di Christchurch, Ahad lalu, kita nyaris dibolos empat gol, ada sebab kukuh skuad bimbingan Norizan Bakar mampu kecundang lagi terutama dengan perubahan corak menyerang yang diterapkan tuan rumah.

All White bimbingan Ricki Herbert, bakal menggunakan tiga penyerang serentak dalam formasi 4-3-3 selepas aksi 4-2-2 di QE II Park lalu sekadar mampu menghuru-harakan kubu pelawat yang dipimpin Norhafiz Zamani Misbah.

Campbell Banks bakal membarisi jentera penggempur baru tuan rumah ketika Herbert melakukan empat perubahan daripada barisan yang menang 1-0 menerusi jaringan lewat Steven Old itu.

Mampu

Banks bakal menggantikan penyerang asal, Brent Fisher selain Shane Smeltz mengambil alih tempat penyerang yang berpangkalan di Australia, Vaughan Coveny.

Tuan rumah juga mahu mempertaruhkan semula kelincahan sayapnya, Leo Bertos yang pada Ahad lalu, dianggap sebagai pemain terbaik perlawanan kerana mampu bertindak dari kiri atau kanan.

``Kami berharap formasi baru menyerang ini dan kemasukan beberapa pemain bakal membuahkan hasil yang memberangsangkan,'' kata Herbert seperti dipetik daripada sebuah laman web New Zealand, semalam.

All White mencipta 23 peluang sepanjang siri pertama yang disaksikan 10,100 penonton dengan 16 daripadanya pada babak kedua, nyaris membolosi gol Malaysia kawalan Syamsyuri Mustafa.

Sementara itu, Norizan dijangka menurunkan beberapa muka baru seperti Azi Shahril Azmi untuk menggerakkan sayap kiri dan mungkin menggandingkan Safee Sali dan penyerang PKNS, Mohizam Dawood Shah.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4kmWu9TYv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan