Ahad, 25 Jun 2017

Jangan terlalu mengharap



ARKIB : 14/04/2006
 
Redzuan Sheikh Ahmad (dua dari kiri) menyerahkan jersi kebangsaan skuad Bawah 20 Tahun kepada Tony Fernandes selepas sidang media penajaan AirAsia kepada pasukan itu di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

PETALING JAYA - Jurulatih, S. Rajagopal mengingatkan para peminat supaya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kepada skuad Bawah 20 negara pada Kejohanan Belia Asia Oktober ini.

Harapan yang menjulang tinggi, katanya, akan hanya memberi tekanan kepada mental pemain-pemain muda negara yang dibimbangi akan merencatkan perkembangan permainan mereka.

``Saya lebih suka mereka memberi tumpuan terhadap satu-satu perlawanan. Yang lebih penting mereka bermain pada tahap terbaik pada setiap perlawanan.

``Saya beritahu pemain-pemain mengenai cabaran yang akan kita hadapi dan saya nasihatkan mereka agar jangan tertekan,'' kata Rajagopal.

``Ini kali pertama kita layak ke pusingan akhir selepas beberapa lama, jadi apa yang boleh kita harapkan daripada penyertaan sulung ini... ia (kejohanan itu) sudah tentu sukar buat kita.

``England selepas menjuarai Piala Dunia 1966 terus gagal sehingga kini, mengapa ini berlaku? Saya bukan memberi alasan tetapi ini adalah hakikatnya iaitu kita tidak boleh mencapai sesuatu dengan serta-merta,'' tegasnya lagi.

Pusingan akhir kejohanan Belia Asia akan berlangsung di Kolkata, India pada 29 Oktober hingga 12 November.

Kata Rajagopal lagi, berbanding pasukan negara lain, skuadnya hanya memiliki empat pemain bertaraf profesional.

``Itupun bukan semua mereka berada dalam kesebelasan pertama pasukan masing-masing. Ada yang hanya beraksi pada baki 10 minit perlawanan. Ini berbeza dengan Jepun yang semua pemain mereka bermain dalam persaingan utama Liga-J begitu juga dengan Korea Selatan.

``Keadaan ini akan menyebabkan pemain-pemain kita sukar mengekalkan stamina dan prestasi pada tahap terbaik. Saya juga hanya dapat melatih mereka sekali pada setiap minggu,'' Rajagopal menjelaskan.

Sebagai persediaan ke kejohanan itu, skuad negara akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan selain menjalani latihan di Akademi Bola Sepak Manchester United di Carrington, Manchester.

Namun, potensi yang ada pada skuad bola sepak Bawah 20 negara telah memikat AirAsia apabila ia bersetuju menaja perjalanan pasukan muda itu.

Syarikat penerbangan tambang murah itu, yang kini menjadi antara penaja Manchester United, telah menggunakan hubungan itu untuk membantu skuad Bawah 20 negara menjalani latihan di Carrington itu nanti.

``Ini ialah bahagian pertama penajaan kami. Selepas ini kami juga akan menaja Liga-M,'' kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AirAsia, Datuk Tony Fernandes

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l3nz90Uo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan