ARKIB : 07/09/2005
KUALA LUMPUR - Jurulatih skuad
negara, Bertalan Bicskei perlu bertindak pantas memikirkan strategi dan
meningkatkan semula semangat anak-anak buahnya selepas dibelasah teruk oleh
Thailand pada separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Bawah-23 AFF di Bangkok
kelmarin.
Dalam perlawanan di Stadium
Tentera Diraja Thai itu, skuad negara dimalukan dalam persiapan mereka ke Sukan
SEA apabila kalah 7-0 dengan bintang tuan rumah, Teerathep Winothai mencipta
jaringan hatrik.
Tetapi, daripada memikirkan
perkara yang telah lepas dan apa kesilapan yang telah dibuat, Bicskei perlu
memikirkan perkara yang lebih utama - memantapkan pasukan dengan perancangan
lebih teratur bagi berdepan dengan Myanmar dan memastikan anak-anak buahnya
pulang dengan lebih bermaruah.
Perlawanan dengan Myanmar untuk
merebut tempat ketiga itu akan berlangsung hari ini selepas Myanmar kalah 2-1
kepada Singapura dalam satu lagi separuh akhir kelmarin.
``Thailand memiliki pasukan
yang lebih bagus kali ini,'' kata Bicskei dari Bangkok semalam.
``Ini adalah kali pertama saya
mendapat kekalahan dengan jumlah sebegini dalam tempoh 30 tahun karier saya dan
saya tidak dapat memahami mengapa ia berlaku. Saya sungguh malu.
``Tidak mengapa kalau kalah
tetapi bukan sebegini besar.
``Kini kami perlu bersedia
untuk perlawanan seterusnya. Kami perlu menilai di mana perlukan pembaikan
sebelum membuat perubahan untuk Sukan SEA,'' katanya lagi.
Menurut Bicskei, antara faktor
yang menguatkan keyakinannya bahawa pasukan bimbingannya memiliki kemampuan untuk
meningkatkan keupayaan adalah bersandarkan kepada fakta bahawa mereka masih
mempunyai beberapa pemain bagus yang tidak dibawa ke Bangkok.
Antara yang tidak bersama
pasukan ketika ini ialah penyerang, Mohd. Nor Ismail, pemain sayap, Mohd. Ivan
Yusoff dan Fauzi Saari serta pemain tengah, Mohd. Fadzli Saari.
``Saya fikir adalah lebih elok
kita tumpukan perhatian kepada perlawanan dengan Myanmar lebih dulu sebelum
mencari penyelesaian tentang bagaimana kita akan berdepan dengan Thailand (di
Sukan SEA),'' tambah Bicskei
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iwjjMbCb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan