Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
SKUAD B-22 negara tewas 0-1
kepada pasukan B-22 China pada aksi persahabatan di Xiangtan, China semalam.
SKUAD Bawah 22 Tahun (B-22)
negara masih belum menemui rentak permainan sebenar.
Sikap leka serta hilang tumpuan
masih menghantui mereka sehingga menyaksikan skuad yang dikenali sebagai Projek
Sukan SEA 2017 itu gagal memberi cabaran kepada pasukan B-22 China pada aksi
persahabatan di Stadium Xiangtan Sports Centre semalam.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim
Swee itu tewas 0-1 hasil jaringan Xiang Bai Xu seawal minit pertama permainan.
Menurut Kim Swee, anak-anak
buahnya masih belum mampu mempamerkan watak sebenar dan ia menjadi faktor
kekalahan mereka pada perlawanan tersebut.
Tanpa berselindung, Kim Swee
mengakui kecewa kerana barisan pemainnya terlalu mudah hilang fokus sehingga
membenarkan pemain pasukan lawan meloloskan diri.
Begitupun katanya, sebaik mereka
bangun daripada kelekaan, rentak permainan dilihat lebih teratur malah
berpeluang melancarkan beberapa asakan tetapi diakhiri dengan penyudah yang
lemah.
Jelas pengendali kelahiran
Melaka itu, beliau optimis keputusan perlawanan tersebut akan berubah jika
pasukan muda negara dapat menjaringkan gol penyamaan.
“Seperti saya jangkakan, ia
menjadi satu perlawanan sukar buat kami dan kedua-dua pasukan bermain dengan
baik.
“Pemain kami lambat panas malah
‘tertidur’ pada awal permainan sehingga memberi ruang kepada skuad B-22 China
menjaringkan gol awal. “Begitupun, secara keseluruhan, anak-anak buah saya
bermain dengan baik terutama pada separuh masa kedua. Namun agak malang, kami
tidak dapat menjaringkan gol penyamaan.
“Memang banyak kelemahan yang
perlu diperbaiki segera terutama sikap pemain yang mudah leka.
“Tetapi, secara keseluruhannya,
para pemain telah menunjukkan karakter yang positif tetapi masih belum cukup
bagus apabila berada di hadapan pintu gol pasukan lawan,” kata Kim Swee pada
sidang akhbar selepas tamat perlawanan semalam.
Selepas aksi bertemu skuad B-22
China, pasukan muda negara bakal menentang Guangzhou R&F esok sebelum
mengakhiri siri perlawanan persahabatan menentang Guangzhou Evergrande pada
Khamis ini.
Pasukan bimbingan Kim Swee akan
menyambung kem latihan di padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),
Kelana Jaya pada 17 hingga 23 Jun ini sebelum para pemain dilepaskan pulang ke
pangkuan pasukan masing-masing.
Aksi persahabatan tersebut
merupakan persediaan buat skuad B-22 negara bagi menghadapi pusingan kelayakan
Piala Asia 2018 B-23 di Bangkok bermula 19 sehingga 23 Julai depan dan Sukan
SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos depan.
Pada pusingan kelayakan Piala
Asia B-23, skuad negara diundi dalam Kumpulan H bersama Thailand, Indonesia dan
Mongolia.
sumberArtikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4jdvcIdOY
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan