Khamis, 29 Jun 2017

FAM buka gelanggang



ARKIB : 28/07/2006

Oleh AMRAN MULUP

PETALING JAYA - Kritikan serta cemuhan semata-mata bukan menjadi jalan penyelesaian jika ingin melihat maruah bola sepak kebangsaan kembali disegani di rantau Asia malahan di persada dunia.

Sebaliknya, apa yang penting adalah himpunan pandangan bernas, keringat dan kepakaran daripada kerajaan, individu, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau peminat bola sepak untuk menjadi titik tolak bagi membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membentuk pasukan paling mantap.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, beliau yakin jika seluruh pihak bergabung tenaga membantu badan induk itu dengan melahirkan idea, pandangan serta kepakaran, tidak mustahil hasrat yang diinginkan oleh seluruh rakyat untuk melihat skuad kebangsaan di pentas dunia akan menjadi kenyataan.

Menurut beliau, sikap segelintir pihak yang melontarkan kecaman dan cemuhan tanpa sebarang pandangan bernas bukan bertujuan untuk membantu FAM.

‘‘Dengan menggesa semua pemegang jawatan tertinggi dalam FAM meletak jawatan itu bukan tindakan yang bijak dan bukan menjadi jalan penyelesaian.

‘‘FAM mempunyai peraturan dan sebarang usaha merombak pihak pengurusan tertinggi badan induk itu perlu dilakukan pada mesyuarat agung dan bukan sewenang-wenang meminta orang meletak jawatan ,’’ katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM dekat Kelana Jaya di sini, semalam.

Sehubungan itu, Dr. Ibrahim sekali lagi menegaskan, kerja sama daripada semua pihak amat penting untuk merealitikan impian seluruh rakyat bagi melihat skuad bola sepak kembali disegani.

Menurut beliau, melahirkan pemain di peringkat akar umbi terutama di sekolah amat penting untuk pembentukan skuad negara.

Ujarnya, selagi tidak ada pemain berkualiti dilahirkan di peringkat sekolah sukar untuk Malaysia membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk menggegar dunia.

FAM katanya, kini bergantung kepada skuad bawah 20 tahun yang akan menggalas cabaran pada pusingan akhir Belia Asia di Kolkata, India, Oktober ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4lNaEOran
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan