Ahad, 25 Jun 2017

Razali dapat panggilan



ARKIB : 09/04/2006

Oleh: KAMARUDDIN ISMAIL

IPOH - Pemain muda Perak, Razali Umar Kandasamy yang hanya sempat beraksi tiga perlawanan berjaya menambat hati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk disenaraikan dalam skuad kebangsaan.

Pemain itu kini dipanggil menjalani latihan pusat bersama skuad kebangsaan yang dibimbing oleh jurulatih, Norizan Bakar mulai Isnin ini.

Pengurus pasukan Perak, Steve Darby bangga dengan perhatian yang diberikan oleh FAM kepada pemain berkenaan.

``Ia satu penghormatan besar buat pemain itu walaupun masih baru dalam pasukan Perak,'' kata Darby di Ipoh, semalam berhubung pemilihan Razali ke dalam pasukan kebangsaan.

Selain Razali, R. Surendren, Ahmad Azlan Nordin, Mohd. Nasril Nourdin, Mohd. Noor Ismail dan V. Thirumurugan turut dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan.

Semua pemain berkenaan akan menjalani latihan pusat sehingga Jumaat ini iaitu sehari sebelum pertemuan Perak dengan Telekom Melaka dalam Liga Super di Ipoh pada hari Sabtu.

Darby berharap keenam-enam pemain utama Perak itu tidak menghadapi sebarang masalah kecederaan sepanjang menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan.

Beliau tidak menafikan Perak akan berdepan dengan masalah yang rumit untuk mendapatkan mata penuh pada 15 April depan jika mana-mana pemain berkenaan tercedera.

Walaupun gembira dengan panggilan FAM itu, Darby tidak dapat menyembunyikan kebimbangan dengan persaingan merebut gelaran juara Liga Super semakin sengit.

Sementara itu, penyokong Kejor Yeop Kejor mempertikaikan tindakan FAM menjalankan latihan pusat semasa persaingan Liga Super semakin hampir di kemuncak.

Jurucakap Kelab Peminat Bola Sepak Perak (KPBP) yang enggan namanya disiarkan berkata, mana-mana pasukan yang pemainnya tidak dipanggil menjalani latihan pusat di Kuala Lumpur lebih beruntung.

``Negeri-negeri itu beruntung kerana pemain mereka tidak letih atau mendapat kecederaan yang boleh menjejaskan pasukan masing-masing,'' jelasnya.

``Sebaliknya, negeri yang ramai pemainnya dipanggil menjalani latihan pusat seperti Perak akan kerugian kerana pemain-pemain berkenaan mungkin gagal memberi komitmen sepenuhnya dalam Liga Super akibat keletihan atau tercedera semasa latihan,'' katanya.

Beliau berharap FAM membuat jadual latihan pusat yang lebih tersusun supaya tidak menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli gabungannya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4l15JVYR4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan