Khamis, 1 Jun 2017

Bicskei risau benteng rapuh



 
ARKIB : 21/07/2005

Oleh Johari Shawal
KETUA pasukan skuad bawah 23 tahun negara, Fadzli Shaari (kanan) mengawal bola daripada dirampas pemain MK Land pada perlawanan bola sepak persahabatan di Kelana Jaya, malam tadi.


``BENTENG pertahanan masih rapuh,'' kata Bertalan Bicskei ketika mengulas mengenai keseluruhan aksi skuad bola sepak bawah 23 kebangsaan semasa perlawanan persahabatan menentang MK Land, semalam.

Jurulatih dari Hungary itu berkata, bahagian pertahanan kurang pantas menutup ruang kepada lawan menyebabkan kubu skuad bimbingannya kucar-kacir.

``Mereka banyak kehilangan bola dan ruang mudah terbuka yang memudahkan pasukan lawan membolosinya. Kita perlukan banyak latihan untuk mengatasi kelemahan ini,'' katanya.

Perlawanan di Wisma FAM, Kelana Jaya itu berakhir seri 1-1 dengan skuad Malaysia membuka jaringan pada minit ke-13 menerusi penyerang, Mohd. Safee Sali hasil tandukan kencang.

MK Land yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Khan Hung Meng menyamakan kedudukan pada minit terakhir perlawanan menerusi rembatan Adzralan Azmi.

Bicskei menguji gandingan Safee, Fadzli Shaari dan muka baru yang diuji, Titus James Palani pada separuh masa pertama sebelum menurunkan `pasukan simpanan' pada babak kedua permainan.

Bicskei memuji barisan serangannya terutama gandingan pada babak pertama itu yang beberapa kali berjaya mencipta gerakan-gerakan berbahaya ke kubu lawan.

``Mereka mendapat banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi pengalaman membataskan kemampuan mereka.

``Mereka perlu lebih banyak didedahkan kepada perlawanan-perlawanan kompetitif,'' katanya.

Skuad Malaysia dalam persiapan untuk mengharungi Sukan SEA Manila hujung November ini.

Mereka akan ke Poland minggu depan sebagai sebahagian latihan rapi sebelum menghadapi temasya itu.

Mereka kemudian akan mengharungi perlawanan pemanas badan sebelum ke Manila iaitu kejohanan pra-Sukan SEA yang dijadual bulan depan di Bangkok.

Selepas itu skuad negara akan berlepas ke Dubai, Amiriah Arab Bersatu pada Oktober sebelum ke Manila

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ijzEqhgJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan