Ahad, 11 Jun 2017

Fauzi jurulatih sementara penjaga gol negara



ARKIB : 28/01/2006
KUALA LUMPUR - Jurulatih penjaga gol skuad Bawah 20 Tahun Malaysia, Fauzi Mukhlas dipinjamkan sementara untuk membimbing tiga penjaga gol skuad pelatih negara, Syamsuri Mustaffa, Faizal Rashid dan Nasril Nourdin sejak Selasa lalu, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Khidmat Fauzi yang sebelum ini sentiasa bersama K. Rajagopal bagi persediaan pasukan ke Kejohanan Belia Asia di Kolkata, India, Oktober depan, diperlukan ekoran ketiadaan jurulatih asal skuad negara, Lim Chuan Chin.

Chuan Chin kini menjalani kursus kejurulatihan anjuran Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) sekali gus Nasir Yusof yang memangku tugas ketua jurulatih Norizan Bakar yang berada di Mekah, memang mengalu-alukan kehadiran penolong baru.

Skuad negara yang dibentuk semula bagi menghadapi Piala Asia tahun depan, menjalani sesi latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya hingga Selasa ini sebelum menentang New Zealand dalam perlawanan persahabatan.

Malaysia yang kini ke-123 dalam senarai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), akan menentang skuad All White yang berada tiga tangga di atasnya, di Christchurch dan Albany, Auckland pada 19 dan 23 Februari ini.

``Fauzi hanya jurulatih penjaga gol sementara kami apabila Chuan Chin ke kursus,'' kata Nasir yang bersama Norizan serta Chuan Chin membantu skuad Bawah 23 Tahun negara meraih pingat gangsa Sukan SEA ke-23 di Filipina, bulan lalu.

Sepuluh pemain skuad itu termasuk ketua pasukannya, Fadzli Saari, diserapkan semula kali ini bersama tonggak senior seperti Amri Yahyah, Norhafiz Zamani Misbah, Kaironnisam Sahabuddin Husain dan Indra Putra Mahyuddin.

Sementara itu, Syamsuri, penjaga gol paling senior, menolak tanggapan bahawa aksinya bersama Te-rengganu dalam Liga Perdana bakal menggugat posisi nombor satu negara yang dipegangnya sekian lama.

``Tidak bermakna jika main Liga Perdana berbanding Nasril dan Faizal di Liga Super, saya turut menurun. Saya percaya persaingan dua liga itu hampir setaraf malah saya menganggap prestasi saya musim ini masih yang terbaik.

``Mereka juga berbakat dan mampu menyaingi saya. Saya mengalu-alukan cabaran itu tetapi saya yakin mampu mempertahankan posisi nombor satu ini,'' katanya yang membarisi skuad terbaik Piala Tiger 2004-05.

Syamsuri mendapat kepercayaan mengawal gawang negara sejak era bimbingan Alan John Harris dari England pada 2000, diikuti dengan penggantinya yang berbangsa Hungary, Bertalan Bicskei dan kini, Norizan.

Faizal yang juga anak bekas penjaga gol terbilang negara, Rashid Hassan, mewakili MPPJ dan antara aksi terbaiknya ialah ketika Lelabah Hitam menewaskan Perak 2-1 dalam perlawanan kontroversi di Ipoh, 31 Disember lalu.

Penampilan Nasril dalam skuad negara pula agak mengejutkan biarpun dia penjaga gol ketiga Perak dan hanya berpeluang menyertai kesebelasan utama setelah kecederaan Hamsani Ahmad dan Tay Sin Kiat.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4jgWwfpEl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan