Khamis, 1 Jun 2017

10 pemain digugur hari ini



ARKIB : 24/07/2005

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
 PETALING JAYA - Hari ini, ketua jurulatih skuad bola sepak bawah 23 tahun negara, Bertalan Bisckei akan menentukan 10 pemain yang digugurkan daripada senarai penuh 44 orang yang memasuki latihan menjelang Sukan SEA Manila, November ini.

Dua perlawanan persahabatan di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini termasuk menentang Kuala Lumpur, semalam dan MK Land, Rabu lalu, sudah cukup menjadi kayu pengukur Bisckei dalam membuat saringan pertamanya - mengecilkan kepada cuma 30 pemain.

Biarpun enggan menamakan sesiapa lagi selepas anak buahnya menewaskan Kuala Lumpur 1-0 dan seri 1-1 dengan MK Land lalu, jurulatih kelahiran Hungary ini tampak sudah menemui siapa yang boleh terus diharapkannya dan siapa pula terpaksa berkemas pulang.

Mungkinkah pemain berpengalaman Sukan SEA Vietnam 2003 seperti Fadzli Shaari, Ronny Harun, R. Surendran atau yang berguru di Perancis, Titus James Palani tersenarai dalam pengguguran itu?

Hanya Bisckei yang dapat menjawabnya dalam tempoh 24 jam ini.

``Ada beberapa pemain yang didapati gagal membuktikan kemampuan dan menggunakan peluang yang diberi. Kita pula tidak cukup pemain yang bagus, lagipun kita tidak boleh ambil kesemua 44 orang serentak,'' katanya selepas skuadnya menang menerusi jaringan Fadzli.

Bisckei ternyata kurang berpuas hati dengan persembahan kesebelasan keduanya, semalam terutama dalam babak pertama dan hanya mula menarik nafas lega setelah beberapa pemain kesebelasan utama diadunkan sekali gus menunjukkan kemajuan.

``Dalam babak pertama, saya berikan beberapa pemain baru, peluang yang tidak dapat diperoleh ketika menentang MK Land lalu kerana mahukan semua merasainya tetapi babak pertama jelas tidak bagus langsung.

``Beberapa pemain didapati tidak boleh bermain dan hanya apabila babak berikutnya, saya tidak lagi menemui banyak masalah dengan memasukkan beberapa pemain utama,'' kata Bisckei.

Menurutnya, ramai pemain tampak penat mungkin dengan corak latihannya yang agak berat di sebelah pagi sehingga mempengaruhi gerak-geri mereka di padang ketika mengharungi kedua-dua pasukan Liga Perdana itu.

Skuad bimbingannya mula menjalani latihan sejak 17 Julai lalu, sebelum ini kehilangan beberapa pemain yang pernah bersama skuad kebangsaan seperti Ivan Yusof dan Mohd. Noor Ismail yang mengalami kecederaan.

Dua perlawanan persahabatan masing-masing menentang Telekom Melaka dan Negeri Sembilan pada Rabu dan Sabtu ini pula akan menjadi saringan terakhir dalam memilih 22 pemain bagi kunjungan ke Poland, bulan depan.

Anak buah Bisckei yang turut dibantu rakan senegaranya, Joszef Dzurjak, Nasir Yusof dan Lim Chuan Chin, juga akan menyertai Kejohanan Pra-Sukan SEA di Thailand pada September ini.

Skuad ini telah ditetapkan sasaran memenangi pingat emas dalam Sukan SEA Manila bagi menebus kegagalan ketika tujuh temasya berturut-turut sejak kali terakhir melakukannya pada 1989 di Kuala Lumpur.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ikF9Dc9W
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan