Rabu, 28 Jun 2017

Myanmar bukan lawan mudah



Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Penyerang skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Muhammad Syafiq Ahmad percaya mereka bukan saja perlu berhati-hati dengan pasukan pilihan Thailand dan Vietnam di Sukan SEA Kuala Lumpur, malah kehadiran Myanmar.

Myanmar seharusnya menjadi pasukan yang perlu diberikan perhatian dan mampu melakukan kejutan selepas mara ke final di Singapura dua tahun namun kecundang kepada juara bertahan Thailand 0-3.

Malah, Syafiq yang turut bersama skuad muda negara pada temasya dwitahunan 2015 menjangkakan pasukan yang pernah beraksi pusingan akhir Kejohanan Piala Dunia B-20 dua tahun lalu itu akan lebih mantap.

“Pada saya, saya lebih risaukan Myanmar selain Thailand dan Vietnam. Mereka sudah buktikan sebelum ini sehingga masuk ke final di Singapura.

“Mereka pernah bermain di Piala Dunia (B-20) dan saya fikir pemain yang sama masih boleh bermain di Sukan SEA Kuala Lumpur,” katanya.

Syafiq, 21, antara pemain yang bakal menjadi taruhan pengendali Datuk Ong Kim Swee dalam misi merangkul kembali pingat emas Sukan SEA selepas kali terakhir di Jakarta 2011.

Tonggak Kedah ini sudah tampil di Sukan SEA buat kali pertama dua tahun lalu di Singapura, namun pengalaman yang diraih amat mengecewakan apabila tersingkir di peringkat kumpulan.

“Kita bermain di tempat sendiri dan sememangnya harus berusaha menjadi juara. Tapi, apapun kita perlu melepasi pusingan awal, peringkat kumpulan dulu, kalau tidak tidak akan ke mana,” jelas Syafiq.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 10:43 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan