Rabu, 7 Jun 2017

Mengharap permulaan yang baik



ARKIB : 21/11/2005 
Daripada: ABDUL HAFIZ AHMAD
SEBAHAGIAN daripada pemain pasukan bola sepak negara menjalani latihan terakhir di perkarangan hotel menjelang aksi pembukaan menentang Kemboja dalam acara bola sepak Sukan SEA ke-23 di Bacolod City, Filipina semalam. - Gambar MOHD. Nazudeen MAHMUD.

BACOLOD CITY - Hanya tiga mata dan permulaan yang baik menjadi misi utama skuad Bawah 23 Tahun negara apabila membuka tirai perlawanan bola sepak Kumpulan A Sukan SEA ke-23 di Filipina dengan menentang Kemboja di Stadium Panaad di sini, hari ini.

Menyedari tidak banyak maklumat terkini dapat dicungkil daripada lawan, Malaysia mungkin perlu mengharungi 20 minit pertama permainan dengan berhati-hati sebelum mampu menyusun strategi yang tepat untuk memburu gol.

Ketua jurulatih negara, Norizan Bakar berkata, penilaian di atas kertas selalu mengatakan Kemboja akan mudah dibelasah tetapi sebaiknya pemain diarah menumpukan kepada matlamat utama iaitu mencari kemenangan.

``Jika kita dapat bermain mengikut perancangan, tiga mata sepatutnya tidak menjadi masalah.

``Yang penting kita mahukan satu permulaan yang baik pada perlawanan pertama,'' katanya selepas sesi latihan di Pusat Sukan Manuel Y. Torres, Bago City, semalam.

Sesi latihan hari kedua menyaksikan pelbagai reka helah diasah untuk menajamkan sentuhan penyudah barisan penyerang negara yang dibarisi Rudie Ramli dan Azlan Ismail selain cubaan melaksanakan sepakan percuma.

Norizan bagaimanapun enggan menamakan gandingan serangan dalam perlawanan sulung itu.

Tetapi sebarang keputusan menyebelahi Malaysia termasuk jaringan besar, mampu membantu jika terikat dengan pungutan mata dalam Kumpulan A bersama Thailand dan Filipina.

Ditanya sama ada aksi hari ini yang bermula pukul 4.30 petang di bawah panas terik menjadi satu masalah pasukan yang sentiasa bermain di sebelah malam, beliau berkata, soal tersebut tidak timbul kerana Bacolod waktu itu sudah seperti senja.

Sementara itu, kesebelasan utama negara mungkin terpaksa turun tanpa penjaga gol pilihan utama, Saiful Amar Sudar yang mengalami demam dan batuk sejak tiba di Bacolod City pada Jumaat lalu.

Seperkara lagi yang membimbangkan pada pertemuan dengan Kemboja nanti ialah ketumpulan barisan serangan.

Sepanjang kempen Kejohanan Piala Agribank di Vietnam akhir bulan lalu, tiada sebiji gol mampu dijaringkan apabila kalah 0-1 kepada tuan rumah, Vietnam dan Thailand serta 0-4 dengan skuad Bawah 20 Tahun Jepun.

Di samping itu, skuad negara seri 1-1 ketika menentang Singapura dalam perlawanan persahabatan dengan jaringan penyamaan oleh bek tengah dari Sabah, Ronny Harun. - Utusan

Barisan kemungkinan

Saiful Amar Sudar, Ronny Harun,

K. Sathiakumaran, Amir Shahreen Mubin,

R. Surendran, Harizul Izuan Rani, Fadzli Shaari,

Azlan Ismail, Rudie Ramli, V. Thirumurugan,

Mat Saiful Mohamad.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jKMBKv1d
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan