ARKIB : 10/08/2005
KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak
kebangsaan bawah 23 tahun semakin menunjukkan peningkatan apabila seri 1-1
bertemu skuad remaja Poland, pada perlawanan persahabatan di Kowal, kelmarin.
Pasukan bimbingan jurulatih
dari Hungary, Bertalan Bicskei itu akan mengharungi tiga perlawanan daripada
empat siri perlawanan persahabatan di negara tersebut sebagai persiapan
menghadapi Sukan SEA di Manila pada November ini.
Dalam perlawanan yang diadakan
di bandar Kowal, skuad kebangsaan menunjukkan persembahan menarik untuk
mengikat Poland dengan keputusan seri tanpa jaringan menamatkan aksi babak
pertama.
Bagaimanapun, pasukan tuan
rumah lebih tangkas mencuri peluang mencipta jaringan pertama pada minit ke-49.
Gol awal itu nyata tidak
melemahkan semangat juang pemain kebangsaan yang hampa dengan beberapa peluang
keemasan untuk mencipta jaringan penyamaan.
Begitupun, kelincahan pemain
sayap, Amir Shahreen Abdul Muin membawa harapan baru apabila dia menjaringkan
gol penyamaan pada masa lewat perlawanan hendak ditamatkan.
Keputusan seri 1-1 jelas
menceriakan Bicskei malah mampu melaungkan rasa lega dengan prestasi
memberangsangkan ditunjukkan oleh kesebelasan yang diturunkan dalam perlawanan
tersebut.
``Pemain cukup konsisten
walaupun ketinggalan 0-1 pada satu ketika, pemain tidak putus asa dan terus
memberikan tentangan sengit hingga ke wisel penamat.
``Saya harap pemain dapat
mengekalkan corak permainan dengan semangat juang tinggi apabila menentang
remaja Poland pada perlawanan terakhir, dua hari lagi,'' kata Bisckei.
Aksi kedua skuad kebangsaan
akan diadakan di Stadium Wloclawek esok pukul 6.00 petang waktu tempatan (pukul
12.00 tengah malam waktu Malaysia).
Buat skuad remaja Poland pula,
dua pertemuan dengan skuad kebangsaan amat penting sebagai persiapan mereka
berdepan dengan Jerman pada perlawanan penting kelayakan Kejohanan Bola Sepak
Eropah Bawah 21 tahun pada 16 Ogos ini.
Poland kini memungut sembilan
mata dan menduduki tangga ketiga Kumpulan 6 di belakang England (14 mata) dan
Jerman (11 mata).
Sesi latihan skuad kebangsaan
di Poland adalah atas jemputan Kujawiak Wloclawek FC adalah sebahagian daripada
persiapan menghadapi Sukan Sea di Manila November ini.
Skuad jurulatih dari Hungary
itu akan kembali ke tanah air pada 12 Ogos dan selepas itu akan mengambil
bahagian pada kejohanan Pra-Sukan Sea di Bangkok, Thailand yang dianjurkan oleh
Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) hujung bulan ini
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4inkcxnme
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan