Isnin, 26 Jun 2017

Skuad negara diramal menang



ARKIB : 26/05/2006
Oleh: NORAIN ISMAIL

KUALA LUMPUR - Skuad kebangsaan diramal menang mudah dalam perlawanan bola sepak pertunjukan dengan MyTeam di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Ahad ini.

Andaian itu dibuat berdasarkan pendapat majoriti peminat dalam tinjauan di sekitar ibu negara oleh Sukan Utusan semalam.

Rata-rata peminat berpendapat bahawa skuad kebangsaan mempunyai kelebihan pengalaman dan kemahiran untuk menumpaskan pasukan program realiti TV itu.

Menurut mereka, berdasarkan rekod MyTeam yang kalah dalam perlawanan-perlawanan persahabatan sebelum ini, tidak mungkin MyTeam mampu memberikan saingan kepada pemain-pemain berpengalaman yang menganggotai skuad kebangsaan.

Mereka turut berpendapat, skuad MyTeam masih baru – bermakna komunikasi antara pemain dan kerjasama mereka belum cukup bagus.

Mohd. Fikri, 34, dari Cheras berpendapat bahawa skuad kebangsaan akan memenangi perlawanan itu kerana mereka lebih berpengalaman.

Peminat dari Bandar Tun Razak, Ahmad Ridzuan, 25, turut memberikan pendapat serupa.

“Sudah tentu skuad kebangsaan tidak mahu mencemar reputasi mereka dengan kalah kepada MyTeam. Pemain-pemain kebangsaan adalah pemain profesional, jadi mereka lebih bijak mengatur strategi,” katanya.

Ia turut dipersetujui oleh Saiful Nizam, 22. Malah, katanya, pengurusan MyTeam membuat persediaan secara terburu-buru dan dalam masa yang singkat.

“Jurulatih MyTeam, Serbegeth Singh juga tidak layak untuk melatih pasukan baru itu,'' katanya.

Bagi Syafarul, 18, pula berkata adalah mustahil bagi MyTeam untuk memenangi perlawanan itu.

“Bagaimanapun, jika jangkaan saya meleset saya harap MyTeam dapat menjalankan program dengan lebih tersusun dan menubuhkan pasukan yang boleh bersaing dalam liga Malaysia,'' katanya.

Bagaimanapun, MyTeam turut mempunyai penyokong.

Zam, 26, dari Cheras, berkata MyTeam berpeluang memenangi perlawanan itu kerana sebagai pemain-pemain baru mereka bersemangat untuk mencipta kejutan.

“Mereka juga tidak tertekan berbanding pasukan kebangsaan yang sudah tentu akan merasa sangat malu jika kalah,” katanya.

Seorang lagi peminat MyTeam, Solihin berkata tahap kecergasan pemain-pemain pasukan realiti TV itu akan menjadi bekalan untuk memenangi perlawanan itu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4l6gURJgW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan