Khamis, 8 Jun 2017

FAM usaha kekalkan pemain



ARKIB : 12/12/2005

Oleh A. Jailani Abdullah
 PETALING JAYA - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan berusaha agar pemain dalam skuad kebangsaan di semua peringkat umur tidak dipecahkan dan kesemua skuad akan mendapat lebih banyak perlawanan bertaraf antarabangsa untuk meraih pengalaman.

Keputusan itu diambil di sebalik sumber kewangan FAM yang semakin mengecil sehingga terpaksa memotong subsidi kepada pasukan-pasukan negeri dan kelab.

``Kami akan cuba mengekalkan tunjang pasukan dan juga jurulatih. FAM juga memutuskan bahawa latihan pusat akan diadakan lebih kerap dan skuad ini akan mendapat lebih banyak perlawanan persahabatan antarabangsa.

``Kita perlu menghasilkan pasukan-pasukan yang lebih berpengalaman, serasi dan bersedia menjelang sesuatu kejohanan.

``Kita perlu memastikan bahawa kita mempunyai pemain-pemain terbaik untuk mewakili negara,'' kata naib Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad selepas mesyuarat Majlis FAM di Kelana Jaya dekat sini, semalam.

Sehubungan itu, pasukan negeri dan kelab diminta berkorban melepaskan pemain-pemain mereka yang dipanggil untuk menyertai latihan pusat dan menyarung jersi kebangsaan.

``Bukan hanya FAM yang perlu berkorban tetapi juga negeri dan kelab. Jika mereka enggan melepaskan pemain, maka kita akan menghasilkan pemain-pemain yang hanya berkualiti di peringkat tempatan,'' kata Redzuan.

Minggu lepas, ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-23 di Filipina, Low Beng Choo menggesa FAM agar tidak menukar pemain terlalu kerap.

``FAM perlu membuat pendirian yang tetap tentang persediaan skuad kebangsaan. Jangan tukar terlalu banyak pemain. Berikan peluang kepada pasukan sekarang dan sediakan mereka ke peringkat yang lebih tinggi,'' kata Beng Choo, yang juga naib presiden Majlis Olimpik Malaysia.

Skuad bawah 23 negara ke Sukan SEA, yang diletakkan di bawah kategori B kalah kepada Vietnam 1-2 pada separuh akhir dan kemudian mengalahkan Indonesia 1-0 untuk meraih pingat gangsa buat kali kedua berturut-turut.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jSIVxU7X
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan