ARKIB : 13/08/2005
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Malaysia perlu
menewaskan Brunei untuk memastikan kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Bawah 20
Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) sambil berharap Myanmar mampu mengekang
Indonesia sekurang-kurangnya dengan keputusan seri, esok.
Skuad bimbingan K. Rajagopal
kini terikat empat mata dengan Indonesia dalam kedudukan Kumpulan A tetapi
perbezaan gol yang ketara masih mengancam peluang kita untuk ke separuh akhir,
Rabu ini.
Sekalipun mungkin menang,
Malaysia yang akan bermain lebih awal, 4 petang (waktu tempatan) di Stadium
Jakabaring, Palembang, Sumatera itu perlu menunggu selama 90 minit bagi
keputusan perlawanan tuan rumah yang bermula 6.15 petang.
``Tiada sebab kita lepaskan
tiga mata apabila menentang Brunei. Dengan perbezaan gol menyebelahi Indonesia,
kita perlu menang sekurang-kurangnya 5-0 untuk menjamin tempat separuh akhir
sekiranya tuan rumah berjaya menewaskan Myanmar pula,'' katanya kepada Utusan
Malaysia, semalam.
Brunei merupakan pasukan
belasahan dan tercorot dalam kumpulan ini tanpa sebarang mata malah kelmarin,
mereka dibenam 1-10 oleh Thailand selepas tewas 0-3 dan 0-5 kepada Myanmar dan
tuan rumah pada 5 Ogos dan Ahad lalu.
Seri juga belum bererti kita
mara kerana keputusan yang sama diraih oleh tuan rumah yang menduduki tempat
kedua kumpulan, bakal membawanya ke separuh akhir kecuali Myan-mar berjaya
menewaskan mereka.
Bersama empat mata, Malaysia
masih di tangga ketiga mengekori Indonesia dan Myanmar selaku juara kumpulan
yang belum lagi kalah dan sudah mengesahkan tiket ke separuh akhir hasil tiga
kemenangan berturut-turut.
Kelmarin kemaraan Malaysia ke
separuh akhir yang sudah mengumpul empat mata, tersekat apabila tewas 1-2
kepada Myanmar ekoran perubahan barisan pemain dan kelonggaran persefahaman
tanpa dua tonggak, Nashriq Baharum dan Azrul Azmi.
Masing-masing menjalani
penggantungan dan kecederaan teruk lutut yang mempengaruhi mutu persembahan
pasukan sehingga lewat bangkit daripada ketinggalan dua gol biarpun jaringan
Zaquan Adha Abdul Razak pada minit ke-65 sempat merapatkan kedudukan.
Menurut Rajagopal, aksi anak
buahnya didapati kurang tersusun dan menghadapi masalah ekoran ketiadaan
Nashriq Baharum yang digantung satu perlawanan kerana mengumpul dua kad kuning
sekali gus dimanfaatkan Myanmar.
``Juga tanpa Azrul Azmi yang
terpaksa direhatkan daripada kejohanan ini (sejak menentang Thailand, Ahad
lalu), beberapa perubahan pada barisan pemain tampak memberikan kesan dalam
persembahan pasukan,'' katanya.
Selepas Myanmar mendahului 2-0,
Malaysia katanya, cuba bangkit menerusi jaringan Zaquan Adha Abdul Razak pada
minit ke-60 tetapi sudah terlewat untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata
dan mencerahkan peluang ke separuh akhir.
``Di babak kedua, kita
menunjukkan peningkatan dan memperoleh banyak peluang. Malangnya, Myanmar
bermain secara bertahan sepenuhnya untuk menutup apa saja ruang mereka,'' jelas
beliau.
Sebelum ini, Malaysia yang juga
juara Piala Lion City di Singapura, Jun lalu bermula dengan langkah kanan
apabila mengejutkan Thailand 3-1 sebelum taktik permainan kasar dan berbahaya
Indonesia mengikat kita 3-3.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iqjZw971
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan