ARKIB : 13/11/2005
Oleh MOHAMMAD ARIF NIZAM
ABDULLAH
Aminuddin Hussin.
PETALING JAYA - Skuad bawah 17
tahun negara diharap mampu menjadi penawar kepada kemerosotan bola sepak negara
apabila turun bertemu Vietnam pada pusingan kelayakan Piala Konfederasi
Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam ini.
Ketika `abang' mereka, skuad
bawah 23 tahun negara masih terkial-kial menghadapi Sukan SEA, skuad bawah 17
tahun negara jelas menjadi harapan terakhir Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
daripada mengalami malu besar tahun ini.
Jika skuad remaja negara ini
juga gagal bermakna FAM bakal menutup tirai tahun 2005 dengan penuh keaiban
tanpa sebarang pencapaian membanggakan.
Tiada pilihan buat anak-anak
buah Aminuddin Hussin melainkan perlu menang perlawanan itu sambil mengharapkan
gol di tempat lawan sebagai kelebihan apabila bertandang pula ke Hanoi pada 17
November ini nanti.
Sebagai jurulatih, Aminuddin
mengakui menggalas tugas berat dan tanpa berselindung meletakkan harapan tinggi
ke atas pasukannya untuk memenangi perlawanan tersebut dengan jumlah gol yang
besar.
``Pada masa sama, para pemain
perlu memastikan pintu gol negara tidak dibolosi oleh pemain lawan.
``Saya juga berharap pemain
dapat menjaringkan gol ketika beraksi di gelanggang lawan.
``Tetapi faktor cuaca perlu
diambil kira apabila mereka bertemu pada perlawanan kedua di Hanoi nanti,''
katanya.
Beliau berkata demikian pada
sidang akhbar menjelang perlawanan Malaysia menentang Vietnam di sini.
Turut hadir ialah ketua
jurulatih skuad Vietnam, Phang Thanh Hung dan pengurus pasukannya, Nyuen Hung
Thai.
Aminuddin menambah kemenangan
3-1 skuad negara ke atas pasukan Vietnam pada Kejohanan AFF di Bangkok Ogos
lalu, tidak boleh dijadikan ukuran perlawanan malam ini.
``Bagaimana pun selepas kejohanan
di Bangkok itu saya telah membaiki kelemahan di bahagian pertahanan dengan
mencuba beberapa pemain baru,'' tambahnya.
Hung Thai pula berkata,
pasukannya telah membuat persediaan yang rapi sejak sebulan yang lalu.
``Perlawanan ini penting buat kami
dan berharap dapat menghasilkan keputusan yang membanggakan.
``Kami memiliki ramai pemain
yang serba boleh dan tidak mempunyai pemain bintang dalam skuad ini.
``Walau bagaimana pun, kami
menghormati kekuatan pasukan Malaysia,'' katanya.
Sementara itu, tiada bayaran
dikenakan kepada peminat bolasepak tempatan yang ingin datang menyaksikan
perlawanan itu malam ini.
Pasukan negara diletakkan dalam
Kumpulan K bersama Vietnam dan Brunei pada pusingan kelayakan Piala Konfederasi
Bolasepak Asia Bawah 17 kali ini.
Bagaimanapun Brunei menarik
diri pada saat-saat akhir
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jEpKWpBV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan