Isnin, 26 Jun 2017

Tahniah Malaysia, Syabas MyTeam



 
ARKIB : 29/05/2006
Ads by Kiosked
Tahniah Malaysia, Syabas MyTeam
PEMAIN MyTeam, Sathiyanseelan Sathianmoorthy (kiri) cuba membentes pemain Malaysia, Nasriq Bahrum pada perlawanan pertunjukan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia menang 2-1. - Gambar ABDUL RAZAK LATIF.

MALAYSIA 2 MYTEAM 1

Oleh AMRAN MULUP dan ROLAND ROBERT IMBANG
KUALA LUMPUR - Impian menggunung pasukan bola sepak realiti TV, MyTeam untuk membuat kejutan tidak kesampaian apabila terpaksa akur dengan Malaysia dengan tewas 1-2 dalam perlawanan pertunjukan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

MyTeam yang dibentuk dan menjalani latihan selama enam minggu di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, jelas tidak mampu menyaingi corak permainan mantap skuad bimbingan jurulatih, K. Rajagopal.

Kegagalan MyTeam menguasai bahagian tengah selain hantaran kurang kemas, memaparkan kelemahan ketara skuad bimbingan Serbegeth Singh sepanjang 90 minit permainan.

Begitupun, perlawanan kedua-dua pasukan yang turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama 60,000 penyokong jelas menghiburkan mereka.

MyTeam membuat kejutan awal apabila mendahului 1-0 hasil jaringan T. Arun Kumar pada minit ke-24.

Malaysia bangkit pada babak kedua dengan meledakkan jaringan menerusi Aidil Zafuan Abdul Razak pada minit ke-64 dan Farderin Kadir, 15 minit sebelum tamat.

Malaysia dibarisi kebanyakan pemain Bawah 20 Tahun yang diturunkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selain diperkuatkan tiga pemain senior kebangsaan, Indra Putra Mahyuddin, K. Nanthakumar dan Khaironnisam Sahabuddin Hussain.

Asakan bertali arus nyaris memihak kepada Malaysia menerusi dua percubaan Khyril Muhymeen Zamri pada minit keempat dan Mohd. Noraliff Zainal pada minit kesembilan hampir meledakkan jaringan pembukaan.

MyTeam jelas gagal mengimbangi penguasaan Malaysia yang bermain lebih kemas namun pada minit ke-24, mereka membuat kejutan apabila T. Arun Kumar menewaskan penjaga gol Malaysia, Amini Ahmad Tabarani.

MyTeam mendahului 1-0 tetapi pasukan itu tempang apabila ketua pasukannya, Hasmizan Kamarodin dilayangkan kad merah pada minit ke-26 kerana mengasari Zaquan Adzha Razak.

Pada minit ke-42, Malaysia turut beraksi dengan 10 pemain apabila Zaquan dibuang padang selepas kad kuning kedua.

Pada babak kedua, Malaysia mengeluarkan ketiga-tiga pemain senior itu dengan mengekalkan skuad Bawah 20 yang jelas memberikan tekanan kepada MyTeam.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4l6icFryO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan