ARKIB : 11/08/2005
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Malaysia
sepatutnya mencapai kemenangan jika bukan kerana taktik kasar pemain Indonesia
dalam perlawanan bola sepak Kejohanan Bawah 20 Tahun Persekutuan Bola Sepak
yang berkesudahan seri 3-3, kelmarin.
Kerana cukup terdesak untuk
memburu tiga mata dalam usaha menghampiri separuh akhir, tuan rumah juga
sengaja menggunakan taktik itu dengan harapan skuad belia negara kehilangan
tumpuan dan terjejas rentak sebenar permainannya.
Ketua jurulatih Malaysia, K.
Rajagopal berkata, anak buahnya masih boleh menerima keputusan di Stadium
Jakabaring, Palembang, Sumatera itu asalkan lawan bermain mengikut peraturan
dan bukannya semata-mata mahu mengasari pemain negara.
``Saya akui bangkit daripada
ketinggalan tiga kali itu satu keputusan yang wajar dan memang sukar dicapai
apatah lagi bermain di gelanggang lawan tetapi kita sebenarnya boleh memenangi
perlawanan ini kalau mereka tidak sekasar itu.
``Indonesia mungkin gentar
apabila melihat kita membenam Thailand 3-1 lalu mereka menggunakan corak kasar
dan mengasari pemain sedangkan permainan kita jauh lebih tersusun,'' katanya
kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Rajagopal, terdapat dua
situasi permainan kasar oleh tuan rumah yang jelas pada pandangannya sekali gus
wajar menghadiahkan pemain mereka dengan kad merah tetapi tidak diendahkan
langsung oleh pengadil.
Gol-gol Malaysia diperoleh
menerusi Zaquan Adha Abdul Razak (minit kelapan dan 46) serta ketua pasukan,
Mohd. Nashriq Baharum pada waktu kecederaan selepas bangkit daripada jaringan
Gerry Setia Adhi Nugraha dan Imanuel Wanggai (minit pertama, 37 dan 55).
Bagaimanapun Malaysia yang kini
menduduki tangga ketiga Kumpulan A selepas dua perlawanan, memerlukan empat
mata lagi untuk mara ke separuh akhir apabila menghadapi Myanmar, hari ini dan
Brunei, Sabtu ini.
Tuan rumah pula menghadapi
situasi hidup mati untuk menewaskan Myanmar, esok yang melonjak ke tangga
teratas setelah mengejutkan Thailand 1-0 dalam satu lagi perlawanan kelmarin
hasil jaringan Sin Thu Sin pada minit ke-85.
Rajagopal turut mengalungkan
pujian atas komitmen anak buahnya yang tidak kenal erti penat atau kalah kerana
berjuang sehingga ke wisel penamat sekalipun tiga kali ketinggalan dan
melakukan kesilapan melepaskan dua gol yang mudah.
``Dua gol itu boleh dielakkan
tetapi mungkin kerana sedikit salah faham antara barisan pertahanan dengan
penjaga gol Amini Ahmad Tabarani, kita dibolosi terlalu awal,'' kata bekas
jurulatih sementara skuad negara, Selangor dan Kelantan ini.
Biarpun seluruh kesebelasan
berhak menerima pujian, Rajagopal turut mengiktiraf gandingan bersaudara, Aidil
Zafuan Abdul Razak dan penjaring dua gol, Zaquan Adha sebagai yang paling layak
digelar Pemain Terbaik kelmarin.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iq5udWIE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan