Isnin, 12 Jun 2017

Bola sepak negara hilang suara lantang



9 Jun 2017
Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar   

ARENA bola sepak negara kehilangan seorang tokoh yang disegani dengan pemergian bekas naib presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Nama Raja Ahmad Zainuddin sememangnya sudah sinonim dengan arena bola sepak tempatan kerana kritikan lantang dan pendapat bernas yang dilontarkan turut membantu membuka mata segenap pihak yang mahu melihat skuad negara kembali gah di persada antarabangsa.

Biarpun lebih sedekad tidak memegang jawatan dalam barisan kepimpinan FAM, namun minatnya terhadap perkembangan bola sepak negara tidak pernah luntur daripada jiwanya.

Malah, bulan lepas, Allahyarham semasa ditemu bual Bernama, menyatakan pandangan bahawa FAM perlu menghantar pemain muda bermain dalam liga luar negara bagi meningkatkan kualiti permainan mereka.

Menurutnya, pendekatan itu harus dilaksanakan segera kerana kualti pasukan negara terlalu jauh berbanding dengan negara seperti Jepun dan Korea Selatan.

Itulah keberanian Allahyarham yang tidak pernah kedekut dengan ilmu dan pandangan ikhlas bagi memajukan sukan bola sepak negara walapun pernah digantung oleh FAM selama tiga tahun pada 1991 kerana mengkritik badan induk sukan itu.

Personaliti bola sepak negara itu meninggal dunia pada kira-kira jam 8.30 pagi ini di Hospital KPJ Ipoh, Perak. Allahyarham, berusia 61 tahun itu dimasukkan ke hospital itu semalam akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan tekanan darah rendah.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Seri Sabaniah Ahmad Sabri, 56, serta anak lelaki Raja Ahmad Zhafir, 28, dan dua anak perempuan, Raja Nur Dzafirah, 23, dan Raja Nur Dzhoriifah, 20.

Berita pemergiannya bukan sahaja mengejutkan warga bola sepak tanah air malah rakyat negeri Perak apabila Allahyarham banyak menabur budi dan jasa kepada rakyat semasa menjadi Ahli Parlimen Larut selama dua penggal (1991-2008) serta Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), Batu Kurau dan Kubu Gajah.

Semasa menjadi pengurus skuad pasukan Perak, slogan 'kejor yeop kejor' menjadi sebutan ramai dan Allahyarham beberapa kali menggalas cabaran sebagai pengurus pasukan skuad negara pada era 1990-an.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi ketika dihubungi Bernama berkata Allahyarham adalah seorang individu yang telah banyak mencurahkan bakti dalam menaikkan imej bola sepak negara.

"Peranan arwah memang besar apabila menjenamakan bola sepak negeri dengan membawa Perak muncul juara Piala Malaysia pada 1998, selepas 28 tahun.

Ini merupakan pencapaian yang dianggap sebagai kenangan cukup bermakna yang tidak mungkin dilupakan, sekali gus mengangkat beliau sebagai pengurus skuad 'The Boss Gaurus' paling berjaya, katanya.

"Pemergian Allahyarham adalah satu berita yang sedih dan pastinya akan memberikan kesan kepada seluruh warga bola sepak tempatan dan Perak khususnya. Allahyarham telah mengharumkan nama Perak dalam persada arena bola sepak negara menerusi pelbagai kejuaraan yang dimenangi sekitar 90-an.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allayarham dan berdoa semoga Allah SWT merahmati roh Allayarham," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kecintaan Raja Ahmad Zainuddin terhadap bola sepak amat mendalam kerana beliau tidak pernah berhenti bercakap mengenai bola sepak walau di mana berada meskipun tidak lagi terlibat secara langsung dalam mana-mana badan bola sepak tempatan.

"Saya pernah bersama-sama dengan Datuk Raja ketika beliau menjadi naib presiden FAM dan saya berada dalam barisan exco. DI mana-mana sahaja beliau akan bercakap mengenai macam mana hendak memajukan bola sepak.

"Apa yang saya boleh gambarkan tentang Datuk Raja, beliau sangat minat terhadap bola sepak dari dulu sampai sekarang dan rasanya sampai bila-bila. Saya baru berhubung dengan beliau minggu lepas,di mana beliau menyuarakan pandangan demi pembangunan skuad kebangsaan," katanya.

Selepas gagal dalam perebutan jawatan naib presiden pada Kongres FAM pada 2010, presiden ketika itu Sultan Ahmad Shah melantiknya mengetuai Jawatankuasa Kewangan dan Jawatankuasa Pertandingan FAM bagi penggal 2010-2014.

Selain bidang politik dan sukan, Allahyarham  pernah menceburi bidang kewartawanan apabila menjadi penulis di akhbar Berita Harian sejak 2002 dan kolumnis 'Oriental', ketua editor Berita Perak (1988-1999),  penasihat Jabatan Pengarang Mingguan Watan serta wartawan sambilan dengan Bernama.

Jelasnya, jasa yang ditaburkan oleh Allahyarham dalam dunia bola sepak negara kekal sehingga ke akhir hayatnya. – Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 9 JUN 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan