ARKIB : 07/02/2006
KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak
kebangsaan bawah 20 tahun mendapat penghormatan tertinggi apabila buat pertama
kali menerima undangan menyertai Kejohanan Copa B.H Futebol Junior di Gerais,
Brazil.
Kejohanan paling berprestij di
Minas Gerais yang pernah menampilkan aksi-aksi Ronaldinho, Ronaldo, Kaka,
Roberto Carlos, Juninho dan Dida akan berlangsung dari 12 hingga 20 Julai ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, kejohanan itu
menjadi medan terbaik sebagai persiapan rapi skuad kebangsaan menghadapi
pusingan akhir Piala Asia bawah 20 tahun di Kolkata, India Ogos ini.
Menurut beliau, skuad
kebangsaan di bawah kendalian jurulatih K. Rajagopal mendapat penghormatan
menerima undangan tersebut atas prestasi konsisten sepanjang tahun lalu.
``Ini adalah satu penghormatan
tertinggi kerana skuad kebangsaan adalah salah satu daripada empat pasukan luar
yang mendapat undangan ini.
``Kejohanan ini juga menjadi
medan ujian terbaik buat pemain negara menimba pengalaman bermain dengan
kelab-kelab terbaik di Brazil,'' ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Kejohanan paling berprestij
diiktiraf oleh Persekutuan Bola Sepak Mina Gerais, Persekutuan Bola Sepak
Brazil (CBF) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Anak didik Rajagopal layak ke
pusingan akhir Piala Asia Bawah 20 selepas menewaskan Myanmar menerusi agregat
4-3 tahun lalu sekali gus layak ke Kolkata, India.
Ibrahim berkata, skuad
kebangsaan akan bersaing dengan beberapa pasukan elit yang telah mengesahkan
untuk mengambil bahagian seperti Corinthians, Sao Paulo, Flamengo, Fluminese,
Santos, Gremio, Palmeniras, Cruzeiro, Atletico Minerio dan Botafogo.
Kejohanan ini pernah disertai
beberapa kelab dari luar yang seperti Toluca (Mexico), Feyenoord (Belanda) dan
Boca Juniors (Argentina).
Pasukan yang akan mengambil
bahagian akan dibahagikan kepada enam kumpulan dan akan bermain sebanyak lima
perlawanan.
Juara kumpulan, naib juara dan
empat pasukan terbaik yang menduduki tangga ketiga akan layak ke peringkat
kalah mati.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4jiUjpx1A
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan