ARKIB : 16/11/2005
Oleh AMRAN MULUP
PETALING JAYA - Masalah
sentuhan penyudah terus membelenggu skuad bola sepak kebangsaan menjelang
saingan pusingan kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 20
tahun bertemu Myanmar bulan depan.
Ketumpulan jentera serangan itu
jelas ketara walaupun skuad bimbingan jurulatih K. Rajagopal sekadar menang
tipis 2-1 ke atas Maldives dalam perlawanan persahabatan di padang Wisma
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini, kelmarin.
Menguasai pentas saingan sebaik
perlawanan bermula lebih cemerlang apabila Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak membuka
jaringan pertama pada minit ke-15.
Sesudah itu skuad kebangsaan
tampak gagah dengan gol kedua menyusul menerusi Md. Khyril Muhymeen Zambri pada
minit ke-30.
Bagaimanapun Maldives
merapatkan jurang dengan gol tunggal jaringan ketua pasukan, Hassan Raushan
selepas 15 babak kedua berlangsung.
Barisan pemain negara mempunyai
banyak peluang di depan pintu gol lawan tetapi ketumpulan jentera serangan
hampa untuk membelasah lawan.
Sepanjang tempoh babak
perlawanan jelas dikuasai penuh oleh pemain negara.
Hakikat itu diakui sendiri oleh
Rajagopal tetapi masih berkeyakinan untuk memperbaiki masalah tersebut sebelum
bertemu Myanmar.
``Masalah sentuhan jaringan
apabila berada di depan pintu gol lawan masih membelenggu skuad negara.
``Saya akui pemain seringkali
gopoh dan terlalu berhati-hati apabila mendapat peluang terbuka di depan pintu
gol lawan,'' ujarnya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan tersebut.
Buat Rajagopal tempoh tiga
minggu sebelum bertemu Myanmar masih ada ruang untuk memperbaiki masalah
tersebut.
Bagaimanapun beliau menaruh
harapan barisan yang ada mampu menewaskan Myanmar.
Skuad kebangsaan akan menanti
kunjungan Myanmar di Kuala Lumpur pada 12 Disember sebelum mengharungi saingan
kedua di Yangon pada 16 Disember.
Ujarnya, ujian sebenar skuad
bimbingannya adalah bertemu Thailand dalam perlawanan persahabatan di Stadium
Petaling Jaya Ahad ini.
Beliau berkata, tiga pemain
bola sepak daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil dipanggil dalam usaha untuk
memperkuatkan skuad kebangsaan.
Mereka yang dipanggil ialah Wan
Mohd. Alif Wan Jasmi, Mohd. Asraruddin Putra Omar dan Mohd. Bunyamin Omar.
Ujarnya, ketiga-tiga pemain tersebut
yang diturunkan dalam perlawanan tersebut telah menunjukkan corak permainan dan
persefahaman yang baik.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4jJYoJqh5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan