Jumaat, 30 Jun 2017

Norfarhan ganti Safee ke Pestabola Merdeka



ARKIB : 09/08/2006
KUALA LUMPUR – Pemain sayap muda Terengganu, Norfarhan Mohamad mendapat kepercayaan jurulatih Malaysia, Norizan Bakar untuk bermain sebagai penyerang pada Pestabola Merdeka ke-38 dari 23 hingga 29 Ogos ini.

Dia yang menyumbat enam gol sepanjang persaingan bola sepak Piala Malaysia ketika ini, diharapkan mampu mengisi kekosongan penyerang Sarawak, Safee Sali yang terpaksa berehat kerana kecederaan lutut.

Sepanjang siri perlawanan persahabatan antarabangsa, Safee menyumbat satu gol ketika Malaysia kalah 1-2 kepada New Zealand di Auckland, Februari lalu malah menjadi pemain tumpuan ketika menentang Singapura, Mei dan Jun lalu.

Norfarhan yang juga pemain skuad Bawah 23 Tahun negara, dijangka digandingkan dengan pemain senior kebangsaan dari Pahang, Indra Putra Mahyuddin atau penyerang Telekom Melaka, Rudie Ramli.

‘‘Tanpa Safee, pilihan saya untuk mencari penyerang negara semakin terhad terutama berdasarkan siapa yang sentiasa bermain dalam kesebelasan utama pada Piala Malaysia,’’ katanya.

‘‘Persembahan Norfarhan tampak semakin menyerlah ketika ini dan peluang wajar diberikan kepadanya tetapi sebagai penyerang,’’ kata Norizan yang masih memiliki seorang lagi calon penyerang, Saramsak Kram dari Kedah.

Norizan mengadunkan beberapa pemain senior dan dari skuad Bawah 23 bagi menghadapi Pestabola di Stadium Shah Alam yang dihidupkan semula sejak 2001 dengan menampilkan Thailand, Indonesia dan Myanmar.

Ketika ini, dia memiliki 22 pemain termasuk dengan kepulangan penjaga gol muda Perak, Nasril Nourdin selepas kali terakhir mengadakan sesi latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 1 Ogos lalu.

‘‘Saya perlu mengadunkan ramai pemain Bawah 23 kerana mengambil kira sebagai persediaan untuk menghadapi Sukan Asia ke-15 di Doha, Qatar (1 hingga 15 Disember ini),’’ katanya.

Menurut Norizan, benteng negara masih memerlukan khidmat dua tonggak berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah (Pahang) dan Khaironnisam Shahabuddin Hussain (MPPJ).

Khidmat mereka bagaimanapun hanya mampu diperoleh 14 Ogos ini sebelum menentang Indonesia yang dijangka diperkuatkan pemain Selangor, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy serta Ponaryo Astaman (Telekom).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4lUcgwn3D
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan