Rabu, 7 Jun 2017

Peluang ke separuh akhir cerah



ARKIB : 25/11/2005

Daripada ABDUL HAFIZ AHMAD dan HARADIAN SHAH HAMDAN

BACOLOD CITY - Malaysia mungkin berada sebelah kaki di pintu separuh akhir bola sepak Kumpulan A Sukan SEA ke-23 di Filipina sekiranya tuan rumah tewas buat kali kedua, kepada Kemboja di Stadium Panaad, hari ini.

Secara matematik, tidak keterlaluan jika dikatakan skuad bimbingan Norizan Bakar memiliki peluang yang lebih cerah untuk mara setelah mengumpul tiga mata dan menyumbat lima gol tanpa bolos ketika membelasah Kemboja, Isnin lalu.

Kelmarin, Thailand, juara bertahan yang mengekori skuad Bawah 23 Tahun negara, sekadar menewaskan Filipina 1-0 menerusi jaringan Jakkrit Bunkham untuk mengumpul tiga mata dalam kedudukan Kumpulan A.

Negara Gajah Putih itu dijangka tidak berdepan sebarang masalah apabila menentang Kemboja yang kini di tempat tercorot, Selasa ini tetapi Filipina mengharungi situasi hidup atau mati untuk mencecah kaki ke separuh akhir.

Malaysia pula bakal mengharungi ujian getir pada perlawanan keduanya dengan menentang anak didik Chanvit Phalajivin yang banyak menyimpan kekuatan sebenar mereka sebagai satu strategi dan hanya memburu tiga mata, kelmarin.

Tuan rumah juga agak tertekan untuk memburu kemenangan sulung di peringkat Sukan SEA selepas kali terakhir hanya mampu melakukannya dengan menewaskan Brunei 1-0 pada temasya 1995 di Chiangmai, Thailand.

Namun jurulatih Filipina, Jose Ariston Caslib berkata, anak buahnya masih berpeluang untuk mengulangi kemaraan sebagaimana ketika temasya Manila 1991 dan mengejutkan Malaysia 1-0 sekali gus memburu pingat pertama bola sepak yang bersejarah.

``Kami tidak perlu membuat perubahan. Saya masih yakin dengan kesebelasan utama ketika menentang Thailand.

``Kami mampu bertahan sambil mengambil peluang. Kami yakin meraih pingat sulung acara ini,'' tegasnya. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jNGt2ruh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan