Rabu, 7 Jun 2017

Malaysia belasah Kemboja 5-0



 ARKIB : 22/11/2005 
Daripada: ABDUL HAFIZ AHMAD
TONGGAK Malaysia, R. Surendren (depan) melepasi asakan pemain Kemboja di Stadium Panaad, Bacolod City, semalam. - NAZUDEEN MAHMUD.

BACOLOD CITY - Malaysia berpesta gol dengan membelasah Kemboja 5-0 ketika membuka tirai aksi bola sepak Kumpulan A Sukan SEA ke-23 di Filipina tetapi turut mengorbankan penyerangnya, Rudie Ramli akibat dilayangkan kad merah, semalam.

Skuad bawah 23 tahun negara yang bermain dengan 10 orang bagi tempoh 39 minit terakhir, menyaksikan kemunculan wira baru, R. Surendran dengan dua gol pada minit kesembilan dan 83, Zairo Anuar Zalani (40), Rudie (45) dan Fadzli Shaari (60).

Anak didik Norizan Bakar ini menunaikan misi utama mereka di Stadium Panaad dengan mengorak langkah kanan dan meraih tiga mata dalam perlawanan yang turut dicemari sedikit insiden panas baran Rudie dan tolak-menolak bersama pemain Kemboja.

Penyerang Telekom Melaka yang pernah berguru di Jerman itu, menerima kad kuning kedua gara-gara terlalu menurut perasaan ketika menyepak bola keluar selepas wisel pengadil dan sebelumnya, dia menyiku pemain Kemboja, Om Thavrak yang mengasari Fadzli pada minit ke-17.

Bagaimanapun, Surendran ternyata lebih menonjol semalam dengan menyambung umpanan lambung V. Thirumurugan dari sebelah kanan untuk menanduk masuk melepasi penjaga gol lawan, Ouk Mic.

Ketumpulan dan kelonggaran persefahaman Rudie dan Azlan Ismail di barisan serangan memaksa Norizan memasukkan Zairo pada minit ke-35 untuk menggantikan Harizul Izuan Rani sehingga membawa gol kedua.

Hanya lima minit kemudian, pemain Terengganu itu melepaskan rembatan kencang dari jarak 30 meter tanpa mampu digapai Mic.

Malaysia menutup aksi babak kedua dengan gol ketiga daripada Rudie yang merobek benteng Kemboja menerusi rembatan kaki kiri setelah mendapat umpanan Amir Shahreen Mubin.

Selepas kehilangan dua peluang keemasan untuk menambah dua lagi gol ketika cubaan pada minit ke-46 dan 47 menerusi Surendran, ketua pasukan, Fadzli berjaya menebusnya dengan gol keempat negara.

Berbaki tujuh minit permainan menyaksikan sentuhan ampuh Surendran yang menyambut umpanan penyerang gantian, Mohd. Nor Ismail dari sebelah kanan menerusi satu aksi yang menarik.

Malaysia akan berehat selama lima hari sebelum kembali ke Stadium Panaad untuk mengharungi ujian lebih getir menentang juara bertahan pada enam Sukan SEA dan pilihan utama kumpulan ini, Thailand. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jKO7HzTY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan