ARKIB : 12/02/2006
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
PETALING JAYA - Jawatankuasa
Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk menghantar skuad
Bawah 20 Tahun kebangsaan yang dibimbing oleh K. Rajagopal, menyertai Piala
Singapura, April ini.
Pengerusinya, Datuk Redzuan
Sheikh Ahmad berkata, skuad berkenaan dijangka mengharungi antara dua hingga
enam perlawanan pada kejohanan kalah mati yang mirip Piala FA itu bergantung
kepada keputusan semasa.
``Penyertaan skuad ini
merupakan sebahagian pelan persediaan ke Kejohanan Bawah 20 Tahun Asia di
Kolkata, India pada Oktober hingga November depan,'' katanya di Wisma FAM,
Kelana Jaya, semalam.
Skuad ini dijangka bersaing
dengan kelab handalan Liga S seperti Angkatan Tentera Singapura (SAF), Geylang
United, Tampines Rovers, Home United, Albirex Niigata dan Woodlands Wellington.
Sebagai pertukaran, skuad Bawah
23 Tahun Singapura atau digelar Yong Lions bimbingan Fandi Ahmad, menyertai
Piala FA dengan menentang Shahzan Muda dalam pusingan pertama di Kuantan, hari
ini.
Malaysia sudah tidak memiliki
skuad Bawah 23 Tahun yang memenangi pingat gangsa Sukan SEA, Disember lalu
apabila kebanyakan pemain diserapkan ke skuad kebangsaan untuk menentang New
Zealand pada 19 dan 23 Februari ini.
Menurut Redzuan, mulai minggu
depan, anak didik Rajagopal ini juga akan memulakan persediaan menimba
pendedahan antarabangsa dengan siri kunjungan ke India.
``Kunjungan selama 10 hari itu
melibatkan tiga atau empat perlawanan dengan pasukan kelab,'' kata pengurus
pasukan yang muncul naib juara Bawah 20 Tahun Asia Tenggara ini, tahun lalu.
Kelmarin, skuad ini tewas 2-4
kepada kelab Bahagian Satu Uzbekistan, FC Mash'al yang turut memiliki tiga
pemain kebangsaan pada perlawanan persahabatan antarabangsa pertamanya di sini.
Selain itu, Bawah 20 Malaysia
akan menyertai kejohanan undangan terpilih, Copa B.H. de Futebol di Minas
Gerais, Belo Horizonte, Brazil pada 12 hingga 20 Julai ini.
Kejohanan anjuran Persekutuan
Bola Sepak Minais Gerais ini bakal turut disertai oleh Corinthians, Sao Paolo,
Flamengo, Fluminense, Santos, Gremio, Palmeiras, Cruzeiro, Botafogo dan Vasco
de Gama.
Kata Redzuan, jawatankuasa
turut mengatur dua siri kunjungan dan persahabatan di Bangkok, Thailand dan Eropah
sebagai medan pendedahan skuad ini, beberapa bulan menjelang misi penting di
Kolkata.
Pusingan akhir Kejohanan Bawah
20 Tahun Asia di Kolkata berlangsung dari 29 Oktober hingga 12 November ini
yang melibatkan 15 lagi pasukan belia handalan seperti Jepun, Arab Saudi,
China, Korea Selatan dan Iran.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4kGYSwqtf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan