Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kemesraan
ditonjolkan pengendali baru Harimau Malaya, Nelo Vingada memberi kelegaan
setiap pemain apabila mendekati dan memahami kehendak jurulatih dari Portugal
itu dalam persiapan mengharungi Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan di
Stadium Larkin, 13 Jun ini.
Hakikat itu diakui penyerang
negara, Safee Sali yang jelas teruja dengan pendekatan Vingada kerana sering
berkomunikasi dengan setiap pemain bagi mengetahui kehendak mereka sekali gus
memudahkan tugas untuk melaksanakan program latihan.
Menurut penyerang PKNS FC itu,
dia tertarik dengan pendekatan Vingada dalam sesi perjumpaan pada hari pertama
beliau mengadakan latihan kerana lebih gemar berkomunikasi dan mendengar
pandangan pemain.
“Selepas beberapa hari
menjalani latihan di bawah kendalian Vindaga, saya rasa sudah dekat dengan
jurulatih itu malah beliau jelas berpengalaman dan pendekatannya tampak mesra
pemain.
“Beliau sudah melatih beberapa
pasukan ternama dan rekod baik dimiliki bakal membantu bola sepak kita untuk
meningkat.
“Sebagai pemain, saya dan rakan
sepasukan bersedia memberi kerjasama untuk memantapkan skuad Harimau Malaya,”
katanya.
Safee yang mendapat cap pertama
bersama skuad kebangsaan ketika menentang New Zealand pada 2006 dan turut
mencipta gol pertama antarabangsa dalam kariernya tampak mahu kembali konsisten
untuk negara.
Katanya, perancangan Vingada
tampak berperingkat dan lantaran memahami kebanyakan pemain berpuasa, sesi
latihan tidak tertumpu kepada latihan berat, sebaliknya lebih terarah untuk
membentuk persefahaman antara pemain.
“Saya jangkakan latihan
taktikal lebih ampuh bakal dipratikkan sebaik 11 pemain Johor DT (Johor Darul
Ta’zim) menyertai kem latihan esok (hari ini) untuk melengkapkan kesemua 26
pelatih skuad negara,” katanya.
sumberArtikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 4:55 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan