Ahad, 4 Jun 2017

Skuad negara hambar di Melaka



 
ARKIB : 27/09/2005
 Oleh: AZMAN IBRAHIM
 PEMAIN Pilihan Melaka, Affendi Lokman (kanan) cuba menyekat pergerakan pemain Bawah-23 negara, Amir Shareen Mubin pada perlawanan persahabatan sempena perasmian Stadium Hang Jebat di Melaka kelmarin. Perlawanan berkesudahan seri 2-2. - Gambar GAIE UCHEL.

MELAKA - Skuad Bawah-23 negara, yang akan mendapat sentuhan jurulatih baru, Norizan Bakar dalam persiapan ke Sukan SEA, bangkit dua kali untuk mencatat keputusan seri 2-2 dengan Pilihan Melaka dalam perlawanan persahabatan di Stadium Hang Jebat di sini kelmarin.

Norizan yang kelmarin dilantik sebagai jurulatih baru skuad Bawah-23 negara menggantikan Bertalan Bicskei dari Hungary mempunyai tugas berat untuk memulihkan semangat pemain-pemain muda negara menjelang Sukan SEA di Filipina Disember ini selepas mereka dimalukan dengan kekalahan 7-0 oleh Thailand awal bulan ini.

Perlawanan kelmarin bagaimanapun satu landasan tepat bagi skuad muda kebangsaan itu untuk memulakan gerakan memulih maruah dan menanamkan keyakinan dalam diri apabila mempamerkan semangat juang tinggi sehingga ke tiupan wisel terakhir walaupun rentak permainan mereka masih banyak kelemahan.

Kesukaran menyusun gerakan kemas menyaksikan mereka dihukum awal oleh Pilihan Melaka pada minit ke-20.

Faderin Kadir membuat gerakan cantik, menggelecek penjaga gol Mohd. Al Hafiz Hamzah yang meluru keluar sebelum membuat sepakan ke gawang yang terbuka.

Tetapi kedudukan itu hanya bertahan selama 16 minit apabila Mohd. Zulkifly Yusof menyamakan kedudukan buat skuad bimbingan pemangku jurulatih, Nasir Yusof itu setelah tendangannya dari jarak 30 meter terkena pemain pertahanan, Khairul Anuar Baharom sebelum bola menerjah jaring.

Ketika permainan kelihatan akan terikat 1-1 menuju masa rehat, Firdaus Hamid mengejutkan skuad negara apabila rembatannya menyaksikan Mohd. Al Hafiz tewas buat kali kedua pada minit ke-41.

Namun, semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh pemain-pemain muda negara menentang lawan yang lebih berpengalaman akhirnya membuahkan hasil apabila percubaan Azlan Ismail menghasilkan gol penyamaan kedua pada minit ke-77.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4j3SqZ3cn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan