ARKIB : 03/03/2006
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Bajet sekitar
RM4 juta diperlukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membiayai
skuad Bawah 20 Tahun kebangsaan, tahun ini yang turut akan ditanggung bersama
Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Bajet besar itu berikutan
pelbagai siri pendedahan dan antarabangsa yang diatur untuk skuad bimbingan K.
Rajagopal sebelum menghadapi tugasan penting, Kejohanan Belia Asia di Kolkata
dari 29 Oktober hingga 12 November ini.
Antaranya menyertai Piala
Singapura, April ini dengan dijangka menentang Angkatan Tentera Singapura,
Geylang United, Tampines Rovers dan Home United selain Copa B.H. de Futebol di
Minas Gerais, Belo Horizonte, Brazil pada 12 hingga 20 Julai.
Kejohanan anjuran Persekutuan
Bola Sepak Minais Gerais ini bakal turut disertai oleh Corinthians, Sao Paolo,
Flamengo, Fluminense, Santos, Gremio, Palmeiras, Cruzeiro, Botafogo dan Vasco
de Gama.
Mereka juga dijangka menyertai
dua siri kunjungan dan perlawanan persahabatan di Bangkok, Thailand dan
beberapa negara di Eropah seperti Slovakia sebagai medan pendedahan skuad ini,
beberapa bulan menjelang misi penting di Kolkata.
KBS akan membantu membiayai
skuad ini dengan meletakkannya di bawah Projek AsiaComm ekoran keputusan
Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan yang dipengerusikan oleh
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.
Timbalan Presiden FAM, Tengku
Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, kesediaan kerajaan untuk menghulurkan
bantuan itu sekali gus akan mengurangkan beban kewangan yang selama ini
terpikul di bahu mereka.
``Kami mengalu-alukan kesediaan
kementerian dalam membantu menyediakan keperluan skuad ini,'' katanya selepas
mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Kuantan, semalam yang dipengerusikan
oleh Presidennya, Sultan Ahmad Shah.
Menurutnya, penglibatan
kerajaan tidak bererti mereka akan mengambil alih skuad bola sepak negara
kerana akan menyalahi peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang
melarang campur tangan politik.
``Sekalipun skuad ini
diserapkan dalam AsiaComm, FAM masih mempunyai kuasa dalam perkongsian dengan
kementerian supaya masih sejajar dengan peraturan tetap FIFA,'' tegas Tengku
Abdullah.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4knv6Zi2V
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan