Sabtu, 3 Jun 2017

Amri teruja komitmen tinggi pemain Harimau Malaya

Oleh MOHD. IZUAN ROSELI
 
AMRI (kanan) giat menjalani latihan bersama rakan sepasukan sebagai persediaan skuad Harimau Malaya menentang Lebanon pada aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Larkin 13 Jun ini.

PEMAIN kebangsaan, Amri Yahyah teruja apabila rakan sepasukannya bersemangat menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih baharu Harimau Malaya, Nelo Vangada sebagai persediaan menghadapi saingan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lebanon di Larkin pada 13 Jun ini.

Pemain Selangor itu berkata, semangat dan komitmen yang dipamerkan itu diharap dapat membantu membentuk keserasian dalam kalangan pemain dengan ketua jurulatih tersebut dalam masa singkat.

"Jurulatih dari luar negara tidak mengenali pemain dan kita perlu bermula dari bawah untuk mengenali serta memahami setiap kelebihan pemain itu.

"Kita berharap dapat bersama-sama membantu untuk merapatkan jurang, sekali gus mencapai misi membentuk sebuah pasukan yang mantap," katanya.

Seramai 26 pemain telah mendaftar dalam latihan skuad kebangsaan sebagai persediaan menentang Lebanon di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin dalam tempoh kurang 10 hari.

Mengulas mengenai pemain yang berusia masih lagi dipanggil untuk berkhidmat dalam pasukan kebangsaan, Amri memberitahu, isu pemain berumur tidak menjadi masalah utama.

"Kita mempunyai beberapa pemain berpengalaman dan dibantu pemain baharu dalam pasukan ini.

"Justeru apa yang penting ialah kita perlu menunjukkan kepada jurulatih bahawa kita layak untuk bermain dalam pasukan kebangsaan," katanya

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iyve0z96
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan