ARKIB : 29/07/2006
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR Skuad Bawah 23
Tahun yang bakal menghadapi Sukan Asia Doha, Disember ini, melepaskan peluang
pendedahan dengan bintang Piala Dunia Ecuador, Carlos Tenario apabila menarik
diri daripada Piala Antarabangsa Bandar Raya Petaling Jaya, bulan depan.
Keputusan itu diumumkan oleh
ketua jurulatihnya, Norizan Bakar selepas menyaksikan anak buahnya menewaskan
Sri Lanka 2-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur,
baru-baru ini.
Dia dikatakan mengambil
keputusan mengejut itu atas alasan kesukaran memperoleh pemain yang diperlukan
bagi menghadapi kejohanan empat penjuru tersebut dari 8 hingga 14 Ogos ini di
Stadium Petaling Jaya.
Piala Antarabangsa Bandar Raya
Petaling Jaya bakal menyaksikan kemunculan kelab Qatar, Al Sadd yang memiliki
Carlos Tenario - penjaring dua gol untuk Ecuador ketika menentang Poland dan
Costa Rica dalam Piala Dunia di Jerman, baru-baru ini.
Dua lagi pasukan yang diundang
memeriahkannya ialah kelab Liga Perdana, Shahzan Muda Pahang dan Balestier
Khalsa dari Liga Singapura yang mengecewakan skuad Bawah 20 Tahun Malaysia
dalam Piala Singapura, awal tahun ini.
Pestabola Merdeka
Norizan berkata, anak-anak
buahnya hanya akan dikumpulkan semula pada 2 Ogos ini bagi membuat persediaan
menghadapi Pestabola Merdeka di Stadium Shah Alam dari 23 hingga 29 Ogos.
Saya akan mengadunkan pemain
skuad ini dan beberapa lagi pemain senior, katanya, merujuk persediaan ke
kejohanan yang dihidupkan semula selepas terhenti sejak 2001 dan bakal disertai
Thailand, Indonesia dan Myanmar itu.
Bagi Sukan Asia yang khusus
bagi bawah 23 tahun, setiap pasukan masih boleh menggunakan tiga pemain senior
dengan Malaysia dijangka menurunkan sama ada Indra Putra Mahyuddin, K.
Nanthakumar, Norhafiz Zamani Misbah atau Khaironnisam Sahabuddin Hussain.
Khaironnisam turut menjaringkan
gol ketika menewaskan Sri Lanka, Rabu lalu manakala Indra Putra semakin
mendapat kepercayaan Norizan sejak kembali mewakili negara menentang Singapura
dalam perlawanan persahabatan timbal balik, Mei dan Jun lalu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4lNhSJX8Y
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan