Sabtu, 10 Jun 2017

Skuad negara tiada pengurus



ARKIB : 25/01/2006

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

PETALING JAYA - Dua puluh lima pemain sudah dipanggil, jurulatih pun sudah ditetapkan tetapi skuad pelatih bola sepak negara masih kekurangan satu lagi elemen persiapan menjelang menentang New Zealand, bulan depan - seorang pengurus pasukan.

Ketika diajukan kepada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad, penyandang jawatannya dikatakan hanya akan dilantik dalam minggu ini tetapi masih tanpa sebarang nama yang dicalonkan lagi.

Beliau turut menolak Datuk Anifah Aman sebagai calonnya kerana naib Presiden FAM itu sudah ditetapkan sebagai pengurus pasukan Bawah 23 Tahun yang bakal menyertai Piala Singapura sebagai pertukaran dengan republik itu beraksi pada Piala FA.

Anifah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), merupakan pengurus pasukan skuad Bawah 23 Tahun yang meraih pingat gangsa Sukan SEA ke-23 di Bacolod City, Filipina, bulan lalu.

``Skuad kebangsaan perlukan pengurus baru dan bukan beliau yang kami maksudkan ketika ini (untuk jawatan tersebut),'' katanya ketika menyaksikan hari pertama sesi latihan pusat skuad negara di Wisma FAM, semalam.

Penolong jurulatih negara, Nasir Yusof mengendalikan sesi berkenaan ekoran ketiadaan ketua jurulatih, Norizan Bakar yang masih berada di Mekah selepas mengerjakan haji dan hanya akan pulang ke tanah air, bulan depan.

Skuad negara yang kali terakhir dibentuk bagi menghadapi Piala Tiger 2004-2005, bakal menentang New Zealand di Christchurch dan Albany, Auckland dalam dua perlawanan persahabatan pada 19 dan 23 Februari ini.

Enam daripada 25 pemain yang dipanggil bagaimanapun tidak menghadiri sesi latihan semalam, masing-masing kerana masalah peribadi, kecederaan, terlibat dengan aksi Liga Super bagi Perlis-Pahang di Kangar dan perlawanan persahabatan.

Mereka ialah Indra Putra Mahyuddin, Fadzli Shaari, Norhafiz Zamani Misbah (Pahang), Azi Shahril Azmi (Perlis), Saramsak Kram (Kedah) dan Amri Yahyah serta P. Gunalan (Selangor).

Indra meminta pengecualian kerana masalah kesihatan isteri, Gunalan tercedera, Fadzli, Norhafiz dan Azi Shahril beraksi malam tadi, Saramsak tiba lewat dan Amri menyertai Selangor menentang skuad Bawah 23 Tahun Singapura.

Senarai pelatih negara

Syamsuri Mustaffa, Faizal Rashid, Nasril Nourdin, Norhafiz Zamani Misbah, Kaironnisam Sahabudin Hussain, P. Gunalan, K. Linggam , Ronny Harun, V. Thirumurugan, Ahmad Azlan Zainal, Mat Saiful Mohammad.

Zairo Anuar Zalani, Indra Putra Mahyuddin, Fadzli Saari, K. Nanthakumar, Fazli Baharuddin, Hardi Jaafar, Azi Shahril Azmi, Yazli Yahya, Rudie Ramli, Safee Sali, Saramsak Kram, Mohizam Shah Dawood Shah, Amri Yahyah, R. Surendran.

UMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jcAhN79m
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan