ARKIB : 10/09/2005
KUALA LUMPUR - Punca prestasi
buruk skuad bola sepak bawah 23 tahun yang kalah teruk 0-7 kepada Thailand pada
Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN Rabu lalu akan diketahui minggu depan.
Sebarang bentuk tindakan yang
akan diambil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mencari formula
bagi memastikan skuad kebangsaan tidak lagi dimalukan seperti yang berlaku di
Bangkok, bergantung kepada keputusan hasil temu bual panel bebas dengan 20
pemain terbabit.
Semalam, panel bebas yang
dilantik oleh FAM telah menemu bual, mendengar penjelasan dan pandangan ke
semua 20 pemain yang beraksi pada pertandingan tersebut.
Temu bual tersebut tidak
membabitkan pihak pengurusan skuad ke Bangkok termasuk jurulatih Bertalan
Bicskei.
Rata-rata kesemua 20 pemain
telah ditemu bual seorang demi seorang secara pertemuan empat mata dengan panel
terbabit untuk mendengar luahan mereka.
Sesi itu bermula kira-kira
pukul 9 pagi hingga lewat petang, berjalan lancar dengan kerjasama baik
diberikan oleh setiap pemain.
Panel tersebut dibarisi
Pengarah Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkeples Embong, pakar
sains sukan, Profesor Ismail Mohd. Noor dan bekas pemain kebangsaan, Khaidir
Buyong. Skuad bola sepatutnya sudah mantap.
Sementara itu, ahli
jawatankuasa teknikal skuad bola sepak bawah 23 tahun, Mohamad Bakar berkata,
sebuah pasukan yang mantap pasti tidak akan mengalami kekalahan seteruk 0-7
kepada Thailand.
Katanya, dengan persediaan
menghimpunkan pemain dibuat sejak Februari lalu selain mengadakan perlawanan
persahabatan di Poland, bulan lalu, anak didik Bertalan Bisckei ini juga
sewajarnya tahu dan mampu bermain sebagai satu pasukan.
``Jurulatihnya beri alasan,
pasukan ini masih di peringkat percubaan. Dari Februari sampai sekarang,
mengapa kita masih mencuba-cuba lagi dan apabila main di Poland dan Bangkok,
sebuah pasukan yang mantap sepatutnya sudah dibentuk,'' katanya selepas
mesyuarat pengurus pasukan Sukan SEA di Dewan Komanwel, Bukit Jalil, semalam..
Mohamad yang turut bersama
skuad itu di Bangkok menjelaskan, beberapa perubahan yang dibuat oleh jurulatih
pasukan dalam menurunkan kesebelasan utama menjelang perlawanan dan sebelum
latihan juga mungkin mempengaruhi kekalahan itu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ix72LYkI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan