KUALA LUMPUR - Malaysia
dihampakan lagi dengan jaringan lewat sehingga kecundang kali kedua dalam
tempoh empat hari, 1-2 kepada New Zealand pada perlawanan bola sepak
persahabatan, semalam.
Kali ini giliran Andy Barron
membenam skuad negara di Stadium North Harbour, Albany, Auckland dengan
rembatan pada minit ke-87 setelah mengutip tampanan kurang cermat Rudie Ramli.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1
masing-masing menerusi jaringan Campbell Banks pada minit ke-18 sebelum Safee
Sali menyamakan kedudukan, enam minit selepas itu.
Ahad lalu, New Zealand
menumpaskan anak buah Norizan Bakar ini 1-0 di QE II Park, Christchurch.
Penjaga gol negara, Syamsuri
Mustafa berhak dipuji kerana menangkis lima percubaan berbahaya tuan rumah
termasuk sepakan lambung dan tandukan dekat Jeremy Brockie pada minit ke-80 dan
83.
All White mengejutkan pelawat
dengan rembatan jarak dekat Banks untuk gol pertama daripada tandukan umpanan
Noah Hickey hasil lambungan sayap lincah mereka, Leo Bertos dari sebelah kanan.
Kebangkitan Malaysia
bagaimanapun terserlah menerusi rembatan deras Safee dari jarak 25 meter yang
gagal ditampan dengan selamat oleh Glen Moss selepas menggelecek seorang
pertahanan lawan.
Malaysia akan menentang
Singapura dalam dua lagi aksi persahabatan di Stadium Nasional, Singapura dan
Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 31 Mei dan 7 Jun ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4kmZ92u7L
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan