Sabtu, 3 Jun 2017

Bola sepak: Thailand belasah Malaysia 7-0



ARKIB : 06/09/2005

BANGKOK - Persiapan pasukan bola sepak Malaysia bawah 23 tahun menghadapi Sukan SEA di Manila November ini menerima tamparan hebat apabila dibelasah 7-0 oleh Thailand pada separuh akhir Kejohanan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) di sini, semalam.

Thailand akan bertemu Singapura pada perlawanan akhir Rabu ini. Sebelum ini, Singapura menumpaskan Myanmar 2-1 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir di Stadium Tentera Diraja Thailand di sini.

Thailand melenyapkan impian Malaysia untuk melangkah ke perlawanan akhir apabila mereka menjaringkan empat gol dalam tempoh 22 minit pertama perlawanan.

Skuad Malaysia jelas tidak bermaya sebaik sahaja pasukan pilihan Sukan SEA itu membolosi benteng pertahanan dengan Teeratep Winothai meledakkan rembatan pada minit pertama menewaskan penjaga gol Mohd. Anis Faron.

Barisan Malaysia jelas tidak berdaya untuk memberi saingan dalam setiap pergerakan kemas dan teratur yang dilancarkan oleh pemain Thailand yang berkemahiran merencana strategi.

Thailand, yang beraksi pada Sukan Universiti Sedunia di Turki, bulan lepas, mengambil kesempatan atas kelemahan Mohd. Anis menjaga gawang gol dengan Teeratep menyumbat gol keduanya pada minit kelapan dan diikuti gol Datsakorn Thonglao pada minit ke-14.

Jakkrit Bunkham menambah derita pasukan Malaysia dengan gol keempat pada minit ke-22 dengan jurulatih Malaysia Bertalan Bicskei mengeluarkan Mohd. Anis dan diganti oleh Mohd. Al-Hafiz Hamzah.

Bagaimanapun, nasib Malaysia tidak berubah apabila Teeratep meledakkan hatrik menerusi tendangan penalti pada minit ke-65.

Pengadil Vietnam Vo Minh Tri memberikan penalti kepada Thailand selepas Teeratep dijatuhkan oleh Mohd. Faizal Mohd. Desa dalam kawasan kotak penalti.

Percubaan Teeratep bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh Mohd. Al-Hafiz tetapi pengadil mengarahkan supaya tendangan itu dilakukan semula yang disempurnakan dengan mudah oleh ketua pasukan.

Thailand tidak berhenti daripada melakukan asakan dan berjaya memperoleh dua lagi gol menerusi Suchao Nutnum pada minit ke-80 dan seminit kemudian oleh Ekaphan Inthasen.

Kekalahan memalukan itu meletakkan Malaysia dalam keadaan genting untuk layak ke separuh akhir Sukan SEA kelak ekoran ketiadaan Indonesia dan Vietnam pada kejohanan di sini.

Kejohanan AFF ini adalah sebagai persediaan pasukan Asean menghadapi Sukan SEA Manila. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0906&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4iwfRLw00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan