Isnin, 5 Jun 2017

Skuad negara jadi `gulai' Jepun



ARKIB : 29/10/2005

PEMAIN skuad bawah 23 Malaysia, Ronny Harun (kiri) dan Mohd. Munir Amran (kanan) berusaha menyekat kemaraan pemain bawah 20 Jepun, Terada Shinichi dalam aksi perlawanan bola sepak Piala Agribank di Hanoi, semalam. Jepun menewaskan Malaysia 4-0. - Gambar AFP.

KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun menerima tamparan paling hebat apabila dibelasah oleh pasukan Jepun bawah 20 tahun apabila tewas 4-0 dalam perlawanan kedua Piala Agribank di Stadium My Dinh, Hanoi malam tadi.

Kekalahan teruk skuad bimbingan Norizan Bakar terus melenyapkan impian untuk sekurang-kurangnya muncul naib juara di kejohanan ini selepas tewas 0-1 kepada Vietnam dalam perlawanan pertama dua hari lepas.

Pastinya kekalahan tersebut terus menimbulkan persoalan sejauh mana kemampuan sebenar skuad kebangsaan untuk membawa pulang pingat pada Sukan SEA di Manila, November ini.

Mengukur keupayaan sebenar skuad kebangsaan dengan kekalahan teruk kepada Jepun, pastinya peluang untuk mengukir sebarang pingat di Manila seakan tidak akan menjadi realiti.

Apa lagi yang perlu dipertahankan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap kecaman dan kritikan pedas dengan kekalahan teruk kepada skuad Jepun yang berumur bawah 20 tahun.

Menjangka reputasi mendadak anak didik Norizan ketika sekadar melepaskan satu gol ketika tewas kepada Vietnam, tetapi sebaliknya Jepun menceritakan betapa longlai dan rapuh persembahan sebenar skuad kebangsaan.

``Mereka bermain di luar keupayaan sendiri dan keputusan ini jelas cukup mengecewakan,'' ujar jurulatih itu sejurus tamat perlawanan.

Bermula dengan gol pertama Jepun menerusi sepakan penalti Euda Katos selepas pemain pertahanan, S. Sathiakumaran menjatuhkan Karoki Shinzoh, memulakan episod malang.

Seminit sebelum rehat pintu gol Malaysia bolos buat kali kedua dengan giliran Ichihara Mitsui memahatkan nama sebagai penjaring.

Malaysia terus tenggelam punca setelah ketinggalan 0-2 belum sempat bernafas, Sandai Hiroki pula meledakkan jaringan ketiga sebelum gol keempat menyusul akibat kesilapan pemain kebangsaan, Ronny Harun menyepak masuk ke gol sendiri.

Skuad kebangsaan akan menamatkan saingan berdepan dengan Thailand esok.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jAmyLWjP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan