ARKIB : 01/02/2006
PETALING JAYA - Skuad bola
sepak kebangsaan akan mengharungi beberapa siri ujian penting termasuk latihan
di Eropah, China dan Timur Tengah sebagai persiapan rapi menghadapi pusingan
akhir Piala Asia 2007.
Setiausaha Agung Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, selain sesi latihan
di luar negara, pemain juga akan didedahkan dengan beberapa siri pertandingan
bola sepak di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, selain itu satu
kejohanan empat penjuru melibatkan tuan rumah pusingan akhir Piala Asia 2007
iaitu Indonesia, Vietnam dan Thailand akan diadakan Ogos ini di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, dua perlawanan
persahabatan yang diatur menentang New Zealand di Christurch (19 Februari ini)
dan Auckland (23 Februari ini) adalah langkah awal persiapan tersebut.
``Kita juga akan menyertai
Piala FA Singapura pada 30 Mei ini.
``FAM memandang serius
persiapan awal untuk Piala Asia 2007 dan kalau boleh kita tidak mahu bermegah
selaku tuan rumah tetapi juga dapat memberikan saingan,'' ujarnya sejurus tamat
perlawanan persahabatan yang menyaksikan skuad kebangsaan menewaskan Polis 3-0
di padang Wisma FAM di sini, semalam.
Mengulas lanjut Ibrahim
berkata, FAM juga akan membentuk skuad pelapis bawah 23 tahun yang akan
dianggotai sebahagian daripada 12 pemain daripada skuad Sukan SEA lalu.
Mereka adalah sebahagian
daripada pemain yang tidak dipanggil pada sesi latihan pertama skuad kebangsaan
bermula 24 Januari lalu tetapi akan digabungkan dengan beberapa pemain baru
bawah usia 23 tahun.
``Pembentukan skuad pelapis
kebangsaan ini adalah bertujuan untuk menghimpunkan lebih ramai pemain yang dapat
diserapkan ke dalam skuad kebangsaan ke Sukan Asia nanti,'' ujarnya.
Ujarnya, kesemua pemain yang
telah dikenal pasti akan dipanggil tidak lama lagi.
Bagaimanapun kata Ibrahim,
jurulatih skuad pelapis masih belum dikenal pasti setakat ini
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4jgag9YUA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan