ARKIB : 21/07/2006
KUALA LUMPUR – Skuad Bawah 23
Tahun Malaysia yang bakal menghadapi Sukan Asia Doha Disember ini, berpeluang
mengasah kemampuan dan persediaan mereka dengan bintang bola sepak Piala Dunia
Ecuador, Carlos Tenario.
Skuad bimbingan Norizan Bakar
itu berpeluang melakukannya dalam Piala Antarabangsa Bandar Raya Petaling Jaya
dari 8 hingga 14 Ogos ini di Stadium Petaling Jaya yang turut disertai tiga
pasukan undangan.
Tenario menjaringkan dua gol
dalam Piala Dunia di Jerman, baru-baru ini selain merupakan penyerang kelab
Qatar, Al Sadd yang muncul kelab terbaik Teluk dengan memenangi 23 gelaran
utama tempatan dan dibarisi beberapa pemain antarabangsa lain.
Dua golnya ketika menentang
Poland dan Costa Rica dalam Kumpulan A membawa Ecuador menyertai Brazil dan
Argentina sebagai tiga pasukan dari Amerika Selatan ke pusingan kedua Piala
Dunia sebelum tewas kepada England 0-1.
Kelab milik Putera Qatar itu
kini berada di Jerman bagi jelajah pramusim malah diperkuat dengan dua pemain
dari Brazil, Felipe George yang pernah beraksi dengan kelab Galatasaray di
Turki dan Marcio Emerson bagi Sao Paolo.
Piala Antarabangsa Bandar Raya
yang bersempena majlis sambutan Petaling Jaya sebagai bandar raya, turut
mengundang pasukan Liga Perdana, Shahzan Muda Pahang dan Liga Singapura,
Balestiar Khalsa.
Ahli jawatankuasa penganjur
kejohanan, Soon Mustapha Karim yang juga bekas pemain hoki kebangsaan berkata,
Al Sadd turut membariskan lima pemain antarabangsa Qatar dan dua pemain
kebangsaan Oman.
“Kejohanan ini membuka peluang
peminat menonton aksi bertaraf antarabangsa Balestiar yang akan diwakili dua
pemain Jepun, seorang dari Cameroon dan seorang lagi dari Nigeria,” katanya
selepas mengumumkan kejohanan itu di sini, semalam.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4lJAeloYd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan