ARKIB : 07/12/2005
Daripada ABDUL HAFIZ AHMAD
MANILA - Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) digesa supaya tidak lagi menukar pemain dan merombak skuad
kebangsaan terlalu kerap malah mesti memulakan persediaan jangka panjang dari
sekarang.
Naib presiden Majlis Olimpik
Malaysia (MOM) dan ketua kontinjen negara ke Sukan SEA ke-23 di Filipina, Low
Beng Choo berkata, dengan cara itu, mana-mana pasukan yang mengambil bahagian
dalam apa jua kejohanan akan mampu bersaing dan mungkin mampu melahirkan pemain
yang bertaraf dunia pada usia awal 20-an.
``FAM perlu membuat pendirian
yang tetap tentang pembentukan dan persediaan skuad kebangsaan. Jangan terlalu
tukar banyak pemain dan melakukannya terlalu kerap. Berikan peluang kepada
pasukan sekarang dan sediakan mereka ke peringkat yang lebih tinggi,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada
sidang akhbar di Hotel Heritage di sini, mengenai prestasi kontinjen negara
termasuk bola sepak pada temasya dwitahunan yang berakhir selepas upacara
penutupan rasmi di Quiriniro Grandstand, semalam.
Skuad bola sepak bawah 23 tahun
negara yang dibimbing oleh Norizan Bakar, sekadar meraih pingat gangsa Sukan
SEA selepas menewaskan Indonesia 1-0 di Bacolod City, kelmarin sekali gus
sekadar mengulangi pencapaian pada temasya itu di Vietnam, dua tahun lalu.
Kedatangan mereka turut diletakkan
di bawah Kategori B dan mulai mendapat perhatian ramai serta dikecam selepas
dibelasah Thailand 0-7 pada Kejohanan AFF, Ogos lalu dan terpaksa melucutkan
jawatan ketua jurulatih dan penolongnya, Bertalan Bisckei dan Joszef Dzurjak.
Beng Choo bagaimanapun enggan
menyatakan sama ada sebutir gangsa itu sebagai memadai atau tidak setelah FAM
sendiri menyasarkan emas pada mesyuaratnya Julai lalu supaya menjadi tanda aras
meningkat kepada mara ke pusingan kedua Piala Asia 2007.
``Saya rasa mereka sudah
mencuba yang terbaik. Saya menonton aksi mereka menentang Filipina dan mereka
bermain dengan cantik dan menarik,'' katanya yang turut datang lebih awal ke
Bacolod City bersama skuad bola sepak yang menentang Kemboja.
Mengenai keengganan Norizan
memberikan kerjasama kepada media untuk menghadiri sidang akhbar selepas anak
buahnya kalah 1-2 kepada Vietnam pada separuh akhir, Jumaat lalu, kata Beng
Choo:
``Itu pilihan peribadi tetapi
saya sudah beritahu semua jurulatih dan pengurus pada Sukan SEA ini supaya
memberikan peluang kepada wakil media untuk menemu bual mereka,'' katanya.
Kata beliau, liputan media
merupakan salah satu elemen berganding bahu mencipta kejayaan gemilang di
Filipina ini dengan 61 pingat emas, 49 perak dan 65 gangsa. - Utusan
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jQvmyB3v
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan