Ahad, 11 Jun 2017

Kecewa, terkejut, dukacita



ARKIB : 01/02/2006

Oleh RADHUAN HUSSAIN dan ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR - Kecewa, terkejut dan dukacita bercampur baur di hati Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah apabila seorang pemain Pahang yang juga tonggak kebangsaan ditahan polis di Kuantan kelmarin kerana disyaki menagih dadah.

Beliau kecewa kerana gejala itu mampu menjejaskan imej bola sepak negara, pasukan Pahang, pemain terbabit dan pemain lain selain merugikan FAM.

Tengku Abdullah juga terkejut malah dukacita kerana pemain yang diharap menjadi contoh kepada pemain muda lain, sanggup mengambil jalan yang merosakkan periuk nasi dan kariernya.

``Saya cukup hampa, kalau perkara ini benar-benar berlaku, imej banyak pihak akan terjejas termasuk FAM. Saya juga terkejut dan dukacita kerana kes ini seperti satu tamparan hebat kepada FAM yang amat merugikan,'' katanya.

Beliau yang juga Tengku Mahkota Pahang berkata demikian selepas mengiringi ayahandanya, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri di Temerloh, Pahang.

Tengku Abdullah mengulas mengenai penahanan pemain berkenaan oleh sepasukan anggota Cawangan Anti-Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan (IPD) selepas satu serbuan ke sebuah pusat hiburan di ibu negeri Pahang itu kira-kira pukul 2.45 pagi kelmarin.

Ujian saringan air kencing ke atas pemain kelahiran Perak itu juga mendapatinya positif ganja sekalipun tiada dadah ditemui pada dirinya.

Suspek bagaimanapun dibebaskan selepas disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) Pindaan 1998.

Menurut Tengku Abdullah, pemain terbabit juga bakal menghadapi tindakan undang-undang oleh mahkamah selain daripada Jawatankuasa Tatatertib FAM yang mungkin menggantungnya daripada bermain lagi selama beberapa tahun atau lebih.

``Kalau terbukti dia bersalah, tindakan juga akan diambil oleh FAM. Mungkin digantung beberapa tahun atau mungkin lebih dari itu.

``Kalau pemain memberi masalah seperti ini, sudah tentu menjejaskan serta merugikan kita. Kita tidak mahu `sebab nila setitik, rosak susu sebelanga','' katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, sebarang tindakan susulan oleh FAM atau PBNP terutama berhubung kontraknya perlu menantikan laporan lengkap hasil siasatan polis dan keputusan ujian berikutnya oleh pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang.

``Setakat ini satu nama sahaja. Saya juga tidak boleh mengumumkan nama pemain itu selagi tiada pengesahan polis atau hospital,'' katanya yang turut mengulas selepas Konvokesyen Khas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia untuk Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud di ibu negara.

Tengku Abdullah bagaimanapun berharap gejala ini tidak merebak dan diamalkan oleh pemain bola sepak lain sebaliknya dijadikan amaran manakala pihak pengurusan pasukan dan jurulatih diarah mengambil tindakan rapi dalam memantau anak buah mereka selepas ini.

``Walaupun kes ini terpencil, saya harap perkara ini tidak merebak dan tidak membesar apabila diamalkan pula oleh pemain lain. Mereka harus jauh daripada gejala apatah lagi jika pernah mewakili negara atau negeri,'' tegasnya.

Mengenai keengganan pemain itu yang menyahut panggilan menjalani latihan skuad kebangsaan atas alasan peribadi sebaliknya didapati berada di sebuah pusat hiburan terbabit, kata beliau: ``Saya tidak mahu membuat kesimpulan awal lagi.''

``Saya ingat kita cuba tengok satu persatu dulu. Kita akan tengok susulan daripada ini. Jika dia dipanggil tapi tidak mahu datang tanpa alasan kukuh, kita ada cara tersendiri untuk ambil tindakan kerana kita pernah gantung pemain yang tidak mahu mewakili negara,'' katanya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jgZm8522
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan