ARKIB : 21/02/2006
Ads by Kiosked
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Rombakan kecil
bahagian tengah dan serangan skuad negara yang hambar sepanjang perlawanan bola
sepak persahabatan pertama dengan New Zealand, kelmarin, bakal menjadi tumpuan
jurulatih Norizan Bakar.
Statistik perlawanan yang
menunjukkan tiadanya sebarang percubaan tepat ke sasaran, menguatkan alasan
mengapa Norizan tidak mampu lagi mengharapkan barisan yang sama di kedua-dua
bahagian tersebut.
Hanya empat percubaan yang
tersasar dengan hanya satu sepakan sudut diperoleh Malaysia daripada perlawanan
di QE II Park, Christchurch yang berkesudahan dengan kekalahan 0-1 menerusi
jaringan Steven Old.
Malaysia tampak memerlukan dua
sayap tengah di kiri dan kanan yang lebih pantas dan lebih cergas untuk
mencipta umpanan lintang kepada penyerang sekali gus menandingi kelebihan saiz
lawan jika mahu melihat keputusan yang lebih baik, Khamis ini.
Kelmarin, bahagian tengah
Malaysia yang membariskan K. Nanthakumar, Hardi Jaafar, Amri Yahyah dan R.
Surendran begitu hambar sementara eksperimen Norizan yang menampilkan Safee
Sali dan Rudie Ramli sebagai penyerang juga didapati tidak menjadi.
Kemasukan Zairo Anuar Zalani
dan Fadzli Saari pada babak kedua didapati sudah terlewat untuk mengatasinya
sehingga mengizinkan All White kerap kali bertandang ke gawang kawalan Syamsuri
Mustafa lalu menghasilkan 16 peluang.
Norizan yang dipetik daripada
sebuah akhbar, New Zealand Herald, bagaimanapun masih berpuas hati dengan
keputusan dan persembahan anak didiknya yang dapat mengekang tuan rumah
kebuntuan gol sehinggalah tiga minit terakhir.
``Saya gembira dengan cara kami
menghadapinya kerana saiz pemain lawan yang ternyata lebih besar dan aksi
mereka cukup lasak,'' ulasnya mengenai aksi sulung skuad negara yang
menyerapkan majoriti pasukan pemenang pingat gangsa Sukan SEA, tahun lalu.
Hanya Syamsuri dan ketua
pasukan, Norhafiz Zamani Misbah, Fadzli, Nanthakumar dan Amri sebagai tonggak
senior daripada skuad ketiga terbaik Piala Tiger 2005 manakala selebihnya
mungkin masih gugup dengan suasana berbeza di depan 10,100 penonton itu.
Persefahaman longgar, turut
mungkin mempengaruhi persembahan hambar dan kerjasama pasukan, kelmarin namun
Norizan menegaskan: ``Saya dapat melihat kami sudah memiliki sebuah pasukan
yang mampu pergi jauh.''
Skuad negara yang ditetapkan
sasaran mara ke pusingan kedua Piala Asia 2007, akan menentang All White sekali
lagi, Khamis ini di Stadium North Harbor, Albany, Auckland kira-kira pukul 2.30
petang waktu Malaysia.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4kkQ0aGCN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan