ARKIB : 16/08/2005
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Dulunya dianggap
kerdil tetapi Laos kini bukan lagi seperti Brunei yang menjadi budak belasahan
setiap pasukan Kumpulan A Kejohanan Bawah 20 Tahun Persekutuan Bola Sepak ASEAN
(AFF) di Palembang, Sumatera termasuk Malaysia.
Dalam diam-diam sahaja, skuad
belia negara Indochina itu sudah mengeluarkan bisanya lalu mengejutkan dua
pasukan pilihan Kumpulan B, Singapura dan Vietnam untuk mara ke separuh akhir
menentang anak didik K. Rajagopal di Stadium Jakabaring, esok.
``Mutu bola sepak Laos sudah
berkembang mengikut peredaran masa. Jangan samakan mereka dengan lima atau enam
tahun lalu. Macam Myanmar juga, segi teknikalnya Laos bukan calang-calang
pasukan biarpun masih dibimbing oleh ju-rulatih tempatan.
``Formasi permainan mereka
cukup tersusun. Jika tidak, mana mungkin mereka mampu ke separuh akhir bersama
Timor Leste (naib juara kumpulan B yang ditewaskan 4-0, kelmarin),'' katanya
kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Laos jugalah yang mengaibkan
skuad senior negara bimbingan Wan Jamak Wan Hassan 1-0 dalam Sukan SEA Jakarta
1997 sekali gus gagal ke separuh akhir biarpun baru bergelar naib juara Piala
Tiger 1996.
Yang penting menurut Rajagopal,
bekas jurulatih sementara skuad negara pada kelayakan Piala Dunia tahun lalu,
ialah corak permainan konsisten anak buahnya dipamerkan di atas padang tanpa
sesekali memperkecilkan kemampuan Laos.
``Untuk beraksi dengan
konsisten, tahap kecergasan pasukan perlu tinggi. Mujurlah dengan tiga hari
rehat selepas perlawanan peringkat kumpulan, kita ada sedikit kelebihan itu
berbanding lawan untuk mengumpulnya semula,'' katanya.
Kata beliau, agak merisaukannya
ialah beberapa pemain negara yang sudah mengutip satu kad kuning yang mungkin
teragak-agak untuk menampilkan aksi mengikut kemampuan sebenar mereka.
``Fokus penuh mesti ada dalam
menentang Laos dan main seperti biasa. Mereka tidak perlu terburu-buru
memikirkan masuk perlawanan akhir lagi dan takut dapat kad kuning kedua,''
katanya.
Mereka yang diancam
penggantungan satu perlawanan selepas ini ialah ketua pasukan, Aidil Zafuan
Abdul Razak, sayap kanan Khyril Muhaymeen Zambri, Safiq Rahim, K. Gurusamy,
Farderin Kadir dan Wan Mohd. Hoesne Hussain.
Selepas empat perlawanan,
Rajagopal dan Kompeni menghasilkan 18 gol dengan Shafiq Jamal muncul penyumbang
terbanyak, lapan gol termasuk hatrik kembar ketika membelasah Brunei 12-0
diekori oleh penjaring prolifik, Zaquan Azha Abdul Razak (tujuh gol).
Barisan kemungkinan: Amini
Ahmad Tabarani, Nasriq Baharon, Aidil Zafuan Razak, Arif Fazeli Saidin, Wan
Mohd Hoesne Hussain, K. Gurusamy, Safiq Rahim, Khyril Muhaymeen Zambri, Shaiful
Sabri, Farderin Kadir, Zaquan Adha Razak
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4irFek5sD
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan