ARKIB : 26/07/2005
TITUS JAMES PALANI.
KUALA LUMPUR - Pemain remaja
yang berpangkalan di Perancis, Titus James Palani merupakan antara lapan pemain
yang digugurkan dalam saringan awal daripada barisan pelatih skuad Bawah 23
Tahun negara bagi menghadapi Sukan SEA, November ini.
Titus, 18, pemain sebuah kelab
liga bawah 18 tahun Perancis, Villenoy FC, menerima nasib itu bersama-sama
Azmizi Azmi, Armanzairi Johan, S. Sritharan, M. Sivakumar, V. Santhanadass,
Mohd. Fariz Mahayuddin dan Azlan Ismail.
Ketua jurulatih, Bertalan
Bisckei berkata, pengguguran Titus bukan bererti prestasi beliau tidak bagus tetapi
kerana usianya yang dianggap masih terlalu muda untuk mengharungi persaingan
peringkat umur yang lebih tinggi.
``Dia berkemahiran dan berbakat
tetapi usianya terlalu muda. Dia bagus jika bermain dalam peringkat sebayanya,
mungkin sesuai dalam skuad Bawah 20 Tahun (bimbingan K. Rajagopal),'' katanya
ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Bisckei, hanya lapan
pemain yang perlu digugurkan buat masa ini biarpun beliau menyebut 10 orang
selepas anak buahnya menewaskan Kuala Lumpur 1-0 dalam perlawanan persahabatan
kedua, Sabtu lalu.
``Dua daripadanya ialah penjaga
gol tetapi saya perlu mengekalkan kesemua pemain posisi itu untuk diberikan
peluang dan diuji lagi dalam dua perlawanan persahabatan dengan Telekom Melaka
(esok) dan Negeri Sembilan (Sabtu ini),'' katanya.
Jurulatih kelahiran Hungary itu
berkata, Negeri Sembilan yang kalah dalam penentuan juara Liga Perdana, Sabtu
lalu, dipilih sebagai lawan terbaru bagi menggantikan Perak yang tidak dapat
memenuhi permintaan untuk hadir dalam perlawanan di Wisma FAM, Kelana Jaya itu.
Aksi anak buahnya dengan
Telekom Melaka dan Negeri Sembilan akan menjadi saringan kedua Bisckei dalam
mencari 22 pemain terbaik bagi menyertai kunjungan ke Poland selama dua minggu
mulai awal bulan depan.
``Hanya satu perlawanan
menentang skuad Bawah 21 Tahun Poland sudah disahkan dalam kunjungan itu. Kami
masih mengenal pasti tiga lagi lawan yang mungkin dari kalangan kelab Bahagian
Dua dan Tiga di sana,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ikoDOdx2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan