ARKIB : 31/12/2005
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
IMBAS KEMBALI ... Pasukan
Uzbekistan bergembira setelah menjuarai Pestabola Merdeka 2001 dengan
menewaskan pasukan Bosnia-Herzegovina.
KUALA LUMPUR - Kejohanan
klasik, Pestabola Merdeka yang melahirkan bintang handalan Asia seperti Ghani
Minhat, Mokhtar Dahari, Kunishige Kamamoto dan Cha Bum-keun bakal dikembalikan
oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengaktifkan skuad negara sepanjang
tahun depan.
Pestabola yang diilhamkan oleh
Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman sempena meraikan kemerdekaan negara
tetapi berkubur selepas 2001, juga merupakan gelanggang terbaik FAM menyusuli
saranan Pengarah Teknikalnya, Robert Alberts, Rabu lalu.
Sekurang-kurangnya lima
perlawanan antarabangsa kelas A dapat diperoleh Malaysia sekiranya Pestabola
mengundang pasukan kebangsaan negara lain khususnya dari Asia sekali gus
mengembalikan kegemilangan bola sepak benua ini seperti era 60-an hingga awal
80-an.
Setiausaha Agung FAM, Datuk
Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, pihaknya bersedia menganjurkan semula Pestabola
yang boleh diatur pada Ogos tahun depan bagi menyediakan banyak perlawanan
untuk skuad negara sekiranya mendapat sambutan penyertaan dan sokongan penaja.
``Mungkin tahun depan semua
sibuk dengan Piala Dunia pada Jun hingga Julai tetapi jika Pestabola dianjurkan
pada Ogos, itu sudah cukup untuk mengaktifkan skuad kebangsaan atau Bawah 23
Tahun menjelang Sukan Asia Doha (Disember),'' katanya, semalam.
Rabu lalu, Alberts menyarankan
sekurang-kurangnya 40 perlawanan antarabangsa perlu diharungi skuad kebangsaan
dalam tempoh empat tahun sekiranya mahu memperbaiki kedudukan ke-123 dalam
senarai dunia ketika ini selain mendapatkan hala tuju bola sepak negara yang
jelas.
Menurut bekas jurulatih Kedah
itu, Malaysia tidak perlu menentang pasukan elit seperti Brazil, Perancis atau
Jepun tetapi memadai dengan mencari lawan yang berkedudukan lebih sedikit atau
lebih rendah seperti Malta, New Zealand, Luxembourg dan Ireland Utara.
Malaysia pernah menjulang trofi
Pestabola sebanyak 10 kali sejak 1957 dengan yang terakhir ialah pada 1993
setelah menewaskan Korea Selatan 3-1 manakala Uzbekistan bergelar juara pada
edisi terakhir 2001 dengan menumpaskan Bosnia-Herzegovina 2-1.
Ibrahim berkata, FAM akan
meneruskan khidmat beberapa pemain skuad Bawah 23 Tahun yang meraih pingat
gangsa Sukan SEA Filipina, baru-baru ini sebagai teras skuad kebangsaan
menghadapi Sukan Asia Doha yang hanya membenarkan penggunaan tiga atau empat
pemain melebihi umur itu.
Kata Ibrahim, FAM turut
meneruskan tradisi perlawanan persahabatan sejak tahun lalu bagi menentang
Singapura secara timbal balik pada Mei depan dengan republik itu akan menjadi
tuan rumah terlebih dulu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1231&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jWtI2BoY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan