Ahad, 4 Jun 2017

Norizan pilihan tepat ganti Bicskei



ARKIB : 26/09/2005

PETALING JAYA - Teka-teki siapa jurulatih bola sepak tempatan yang akan menggantikan Bertalan Bicskei akhirnya terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan jurulatih Pulau Pinang, Norizan Bakar dilantik mengisi kekosongan tersebut dengan kontrak selama dua tahun ditawarkan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad ketika mengumumkan perkara itu berkata, pelantikan Norizan disifatkan tepat setelah mengkaji daripada pelbagai aspek.

Menurutnya, jurulatih itu mempunyai pengalaman yang cukup luas kerana pernah berkhidmat di bawah dua jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim dan Allan Harris.

``Kriteria yang paling penting mengapa kita pilih Norizan kerana beliau memiliki sijil kejurulatihan profesional kursus yang dikendalikan oleh Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) pada 2001.

``Beliau (Norizan) adalah salah seorang pelajar terbaik pada kursus tersebut yang turut disertai oleh ramai jurulatih dari AFC,'' ujarnya dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, semalam.

Pelantikan Norizan sememangnya sudah diduga sejak dari awal lagi ketika pelbagai calon-calon seperti Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan dan Irfan Bakti antara yang disebut-sebut menggantikan Bicskei.

Lebih mengejutkan ada pula yang mengaitkan jurulatih Perak, Toni Netto menggantikan Bicskei ketika FAM menegaskan hanya jurulatih tempatan akan dipilih oleh badan induk itu.

Norizan, 44, yang pernah membawa Perlis muncul juara Piala Malaysia musim lalu, dipilih sebagai jurulatih setelah Jawatankuasa Teknikal badan induk itu mengambil keputusan drastik melucutkan jawatan Bicskei berkuat-kuasa serta merta.

Ia adalah gara-gara kekalahan mengaibkan 0-7 kepada Thailand pada saingan separuh akhir Kejohanan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Norizan yang dilahirkan di Kangar pada 1961, mula menjadi penolong jurulatih kebangsaan sejak 1994 hingga 1996 dan dari tahun 1998 hingga 2002.

Beliau pernah diberi mandat mengemudi skuad kebangsaan menghadapi Pestabola Merdeka pada Jun 2000 selain memastikan Malaysia mara hingga ke separuh akhir Piala Afro-Asia di India pada Oktober 2003.

Mengulas lanjut Ibrahim berkata, kontrak dua tahun yang ditawarkan kepada Norizan adalah bagi mengendalikan skuad bawah 23 tahun yang dalam persiapan rapi menghadapi Sukan Sea di Filipina, November ini.

``Buat tugas-tugas mengendalikan skuad kebangsaan akan kita fikirkan kemudian kerana tidak ada kejohanan utama sehingga tahun 2007 melainkan bagi Sukan Asia di Doha pula ia melibatkan skuad bawah 23 tahun,'' ujarnya.

Beliau menegaskan, Norizan telah diberi kuasa penuh untuk melatih skuad bawah 23 tahun tanpa ada campur tangan daripada pihak luar.

Di samping itu jelasnya, Norizan turut diberi tanggungjawab untuk menentukan barisan pemain bagi menggalas cabaran negara di Manila nanti.

``Beliau telah memaklumkan kepada saya bahawa dua atau empat pemain baru akan dipanggil bagi memantapkan skuad yang ada sekarang.

``Di samping itu juga, Norizan mahu mengekalkan Nasir Yusof dan Lim Chuan Chin untuk membantunya selain dijangka ada seorang lagi penolong jurulatih akan dilantik,'' ujarnya.

Ibrahim berkata, FAM penuh yakin Norizan dapat membentuk pasukan paling mantap dalam usaha acara bola sepak dapat menyumbangkan pingat pada temasya di Manila nanti.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4j3RBomEC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan