Isnin, 5 Jun 2017

Selangor idam Piala AFC



ARKIB : 30/10/2005
OlehP: AMRAN MULUP

PETALING JAYA - Selepas menjulang gelaran Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Perdana musim ini, Selangor mengidam pula untuk menambah koleksi di peringkat antarabangsa dalam kejuaraan Piala AFC musim depan.

Pengurus Selangor, Datuk Satim Diman berkata, melihat keupayaan barisan pemain musim 2005/2006 beliau yakin skuad Merah Kuning mampu mencipta kejayaan dalam Piala AFC.

Menurut beliau, kelibat 23 pemain termasuk trio import Bambang Pamungkas, Elie Aiboy dan Brian Fuentes mempunyai kekuatan tersendiri membawa cabaran Malaysia.

``Kalau kelab Maldives, New Radiant mara boleh hingga ke separuh akhir Piala AFC, apa kurangnya pasukan Selangor.

``Cuma yang penting bagi saya agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi kelonggaran jadual perlawanan Liga Super jika Selangor beraksi di Piala AFC,'' ujarnya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa media bersama pemain dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di Hotel PJ Hilton di sini, kelmarin.

Satim menegaskan, beliau tidak sangsi dengan kemampuan pemain Selangor dengan diterajui oleh Bambang, Aiboy dan Fuentes untuk memastikan sekurang-kurangnya skuad Merah Kuning mara ke separuh akhir.

Ujarnya, peluang mencipta kejayaan bagi menambah koleksi kecemerlangan Selangor musim depan tidak akan disia-siakan begitu sahaja.

Beliau tidak menganggap jadual ketat Liga Super musim 2005/2006 akan menjejaskan rentak permainan Selangor.

Sebaliknya katanya, jadual perlawanan yang terlalu ketat musim lepas menjadikan Selangor makin ampuh.

``Bagi saya jadual perlawanan ketat tidak akan menjejaskan tumpuan pemain apabila bertanding di Piala AFC nanti,'' kata Satim.

Musim lalu, saingan Piala AFC telah dipikul oleh Pahang dan Perak tetapi gagal layak ke suku akhir.

Bagi memantapkan cabaran di Liga Super, Satim berkata, tiga perlawanan persahabatan telah diatur sewaktu kunjungan skuad Selangor ke Melbourne dan Sydney mulai 7 hingga 20 November ini.

Dua perlawanan persahabatan menentang skuad Blacktown City Diamond dan Marcony SC di Melbourne manakala kelab Kingston di Sydney akan menilai kekuatan sebenar Selangor.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jArPM5Bk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan