ARKIB : 18/11/2005
KUALA LUMPUR - Jurulatih skuad
bola sepak Bawah 23 tahun negara, Norizan Bakar mengingatkan peluang skuad
negara mara ke separuh akhir Sukan SEA Filipina bergantung kepada keputusan
perlawanan pertama ke atas Kemboja, 21 Disember ini.
Tegas beliau, para pemain
negara perlu memberikan persembahan terbaik untuk mengatasi Kemboja.
``Walaupun ada yang menganggap
kita mudah untuk ke separuh akhir tetapi saya tidak mahu mengulas mengenainya,
sebaliknya akan membuat penilaian kemampuan kita selepas satu-satu perlawanan.
``Kita tetap menganggap Kemboja
lawan yang sukar walaupun tidak tahu kemampuan mereka. Apa yang lebih penting
kita akan memberikan yang terbaik dalam semua perlawanan.
``Selepas itu barulah kita
dapat mencongak sejauh mana peluang untuk ke separuh akhir,'' katanya selepas
menerima lawatan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Filipina, Low Beng Choo
di Bukit Jalil, semalam.
Pasukan negara mencatat
keputusan hambar dalam beberapa perlawanan menjelang Sukan SEA antaranya
Kejohanan Piala Agribank di Hanoi dengan tewas kepada pasukan bawah 23 tahun
Vietnam dan Thailand masing-masing dengan 0-1 sebelum kalah 0-4 kepada skuad
bawah 20 tahun Jepun.
Secara keseluruhan, jurulatih
itu berkata, dia berpuas hati dengan tahap persediaan anak buahnya walaupun
gagal mencatat keputusan memuaskan pada lapan perlawanan menjelang Sukan SEA
sebelum ini.
``Apa yang saya dapati para
pemain semakin matang dan keputusan seri 1-1 dengan skuad bawah 23 tahun
Singapura 1-1 dalam perlawanan persahabatan terakhir, menunjukkan pemain
bersedia.
``Saya harap mereka akan
mempamer persembahan lebih baik pada kejohanan sebenar di Filipina nanti,''
ujarnya.
Malaysia diletakkan dalam
Kumpulan A bersama Thailand dan tuan rumah, Filipina.
Kumpulan B terdiri Singapura,
Myanmar, Indonesia, Vietnam dan Laos.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jK9Cm3pe
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan