Isnin, 5 Jun 2017

Skuad bola sepak bawah 20 tahun jadi sandaran negara



ARKIB : 18/10/2005

PETALING JAYA - Skuad bola sepak bawah 20 tahun kebangsaan boleh melepasi kelayakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang berlangsung di Myanmar bulan depan berdasarkan semangat yang ditunjukkan sepanjang latihan, kejohanan dan perlawanan persahabatan yang diharungi mereka sebelum ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, barisan pemain sudah bersedia sepenuhnya untuk kejohanan itu.

``Setelah mengharungi kejohanan di Palembang, Singapura dan Brunei, skuad ini saya lihat mampu pergi jauh. Saya juga yakin mereka mampu melepasi kelayakan AFC ini,'' katanya.

Dr. Ibrahim berkata, skuad negara mempunyai peluang dalam kelayakan itu selepas memberikan keputusan-keputusan yang baik di Palembang dan Singapura.

``Cuma kita perlu berhati-hati bertemu Myanmar yang nampak lebih bagus. Tetapi kita boleh atasi mereka jika kita tumpukan permainan dengan baik,'' katanya selepas majlis berbuka puasa bersama pemain di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Malaysia yang dibimbing jurulatih, K. Rajagopal, diletakkan sekumpulan dengan Myanmar dalam kelayakan AFC yang berlangsung 23-27 November depan selain Brunei.

Pada kejohanan AFF di Palembang Ogos lepas, Malaysia muncul naib juara selepas tewas 1-0 kepada Myanmar dalam perlawanan akhir.

Pada Jun sebelum itu, skuad negara menjuarai kejohanan Bawah 18 di Singapura.

Sebagai persiapan sebelum ke Yangoon, FAM telah mengatur tiga perlawanan persahabatan menentang kelab West Australia di Australia minggu ini.

Skuad negara yang terdiri daripada 24 pemain dan lima pegawai, berlepas ke negara itu hari ini dan kembali pada 26 Oktober ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4j7a7NVqx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan