Serbegeth Singh
Persembahan pertama era baru
bola sepak Malaysia serta perlawanan sulung jurulatih Nelo Vingada sudah
berlalu. Tiada gegaran yang dapat dirasai. Tiada gelombang yang menyelubungi suasana
atau kualiti kehidupan.
Selepas dihadiahkan gol pertama
oleh penjaga gol Lubnan Mehdi Khalil, segala-galanya tenggelam pada minit-minit
terakhir perlawanan.
Dan yang membawa padah adalah
keputusan pemain gantian oleh Vingada. Pemain simpanan atau gantian harus
menjadi tenaga baru serta pencorak taktikal tetapi jelas tiada fenomena yang
berlaku. Justeru, jurulatih harus bertanggungjawab terhadap kegagalan pasukan
negara mengutip mata.
Kita sedia memahami corak
taktikal bertahan adalah harapan kita untuk mencari atau mencuri mata di
lapangan bola sepak antarabangsa. Tetapi, apa perlunya jurulatih sekiranya
beliau tidak mempunyai kelebihan menganalisa perjalanan perlawanan.
Bermula dengan penukaran pemain
pertama yang menyaksikan Amri Yahyah (gambar) dimasukkan untuk menggantikan
Syazwan Zainon di sayap kiri. Pemain agresif muda yang menjadi pemain sayap
asli digantikan dengan pemain veteran. Sudah tentu Amri membawa pengalaman
tetapi adakah pemain berusia 35 tahun ini bersedia untuk memasuki padang dalam
keadaan perlawanan tempo tinggi.
Agak sedih melihat Amri jelas
setapak dua di belakang pemain lain di padang. Adakah jurulatih kecergasan
menjalani tanggungjawab sepenuhnya untuk menentukan Amri melakukan ‘warm up’
mencukupi supaya boleh terus ke padang dan beraksi pantas?
Benar seorang pemain itu harus
bertanggungjawab untuk bersedia beraksi tetapi Amri adalah unik kerana usianya.
Pemain ini dikecewakan pihak kejurulatihan yang tidak membawa apa-apa
perbezaan!
Beberapa minit kemudian, pemain
tengah Baddrol Bakhtiar digantikan dengan pertahanan Afif Amiruddin. Mengikut
keperluan pasukan waktu itu kehadiran Afif akan membantu barisan pertahanan
tengah dengan Shahrol Kalam serta Khairul Helmi Johari sudah memberi terbaik.
Adakah Afif memainkan peranannya sebagai ‘sweeper’ seperti mana diperlukan?
Sekali lagi Vingada
mengelirukan diri sendiri dengan meletak Afif di bahagian tengah. Dengan itu,
kita tidak mengukuhkan barisan pertahanan tetapi membariskan dua pemain
bahagian tengah yang tidak selesa membuat lorongan ke arah pintu gol lawan.
Berganding dengan Amirulhadi
Zainal di bahagian tengah, Afif tidak dapat membuktikan kebolehan sebagai
pemain pertahanan agresif. Di sinilah, Vingada menunjukkan beliau naif
taktikal.
Ketika dalam keadaan seri 1-1
Vingada membuat pertukaran pemain ketiga apabila Mahali Jasuli dikeluarkan,
digantikan dengan Azamuddin Akil. Seorang pemain sayap yang tidak berminat
melakukan tugas pertahanan, kemasukan Azamuddin jelas tidak memberi kelebihan
kepada pasukan.
Pemain ini yang jarang
diturunkan sebagai pemain utama bagi kelabnya jelas sekadar mengisi kuota
pemain di atas padang.
Pemain seperti Ahmad Syamim,
Shahrul Saad, Mohamed Nor Azam dan Akram Mahinan pula terus memanaskan bangku
simpanan.
Pemain yang dikatakan ini boleh
membawa tugas dan tanggungjawab mengikut keperluan pasukan semasa tetapi
Vingada jelas konservatif dengan pemikiran serta tindakannya.
Pertukaran serta penggantian
pemain tidak sama sekali menguatkan pasukan. Pemain yang masuk padang sebagai
gantian tidak boleh disalahkan kerana kebolehan atau kemampuan yang dibawa
tidak mencukupi untuk rombakan taktikal.
Kita hanya boleh menilai
seorang jurulatih apabila beliau menghadapi saat-saat getir dan jelas
penampilan pertama Vingada agak menghampakan.
Dari situasi boleh menang,
Vingada berjaya menghapuskan segala harapan negara dan kita terpaksa menelan
kekecewaan.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 3:57 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan