Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hasrat jurulatih
Datuk Ong Kim Swee untuk meraih kemenangan dalam perlawanan pertama bersama
skuad bawah 22 tahun negara (B-22) tidak kesampaian apabila tewas 0-1 kepada
B-22 China dalam aksi persahabatan di Stadium Pusat Sukan Xiangtan malam tadi.
Apa yang mengecewakan kekalahan
itu berpunca daripada kelekaan pemain apabila membenarkan pasukan tuan rumah
menjaringkan gol pantas seawal minit pertama menerusi percubaan Xiang Bai Xu.
“Pemain tertidur di awal
permainan sehingga menyebabkan kami melepaskan gol mudah. Bagaimanapun, kami
bermain lebih baik selepas rehat, malangnya tidak berjaya mendapatkan gol
penyamaan,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan
mereka gagal sekurang-kurangnya mengulangi aksi ketika seri 1-1 dalam pertemuan
di Kejohanan Piala Dubai, Mac lalu ketika pasukan negara dibimbing jurulatih
Jerman Frank Bernhardt.
Bagaimanapun, bekas jurulatih
kebangsaan Kim Swee yang hanya mempunyai masa 10 hari mempersiapkan pasukan
selepas dilantik mengambil alih tugas Bernhardt sememangnya sudah menjangkakan
China akan tampil lebih garang di tempat sendiri dalam aksi ini.
“Banyak yang perlu
ditingkatkan, kami cuai dan akibatnya dibolosi. Secara keseluruhan dari segi
sistem, karektor pemain yang berusaha sehingga ke hujung permainan adalah
petanda baik buat kita. Saya percaya jika kami dapat gol penyamaan, rentak
permainan akan berubah,” kata Kim Swee.
Masalah kecederaan dialami
menyaksikan Kim Swee melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama
termasuk menurunkan penjaga gol Kedah Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim dan Safawi
Rasid berbanding ketika seri 1-1 dalam persahabatan dengan FELDA United sebelum
ke China.
Skuad muda negara akan
meneruskan siri jelajah China berdepan dua pasukan simpanan - Guangzhou R&F
pada Selasa ini dan Guangzhou Evergrande (15 Jun).
Kim Swee yang pernah menjadi
jurulatih Harimau Muda A diberi tanggung jawab membentuk pasukan mantap bagi
mengharungi dua misi penting di pusingan kelayakan Kejohanan B-23 AFC di
Bangkok bulan depan dan Sukan SEA Kuala Lumpur (Ogos).
sumberArtikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 10 Jun 2017 @ 11:43 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan